Ahad, 28 April 2024 | 2:35pm
Sanjay Jeeva menewaskan pemain Colombia, Andres Herrera untuk menjuarai Terbuka Bermuda di Devonshire. – Foto Instagram sanjay_jeeva
Sanjay Jeeva menewaskan pemain Colombia, Andres Herrera untuk menjuarai Terbuka Bermuda di Devonshire. – Foto Instagram sanjay_jeeva

Sanjay ungguli skuasy Terbuka Bermuda

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Sanjay Jeeva memperoleh gelaran sulungnya dalam Jelajah Cabaran PSA apabila memenangi Terbuka Bermuda 2024 di Devonshire, Bermuda, semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu berjaya menundukkan Andres Herrera dari Colombia 11-7, 11-7, 11-3 dalam tempoh 45 minit pada perlawanan akhir.

Kemenangan ke atas Herrera itu juga yang kedua buat Sanjay selepas menewaskan lawannya itu pada suku akhir Siri Pro RC 2024 di St Louis, Amerika Syarikat (AS), dua minggu lalu.

"Saya teruja dengan kemenangan ini," kata Sanjay yang berada di ranking ke-76 dunia.

"Saya menerapkan corak permainan bijak, memanjangkan permainan rali. Andres juga tampak sedikit kepenatan selepas beraksi di separuh akhir.

"Saya pernah memenangi beberapa kejohanan satelit PSA tetapi ini kali pertama saya menjuarai Jelajah Cabaran. Akhirnya saya melengkapkan sesuatu dalam siri jelajah ini."

Selepas kejayaan yang diraih, Sanjay yang berpangkalan di AS kini memasang impian untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Sebelum melangkah ke final, Sanjay menewaskan rakan senegara Herrera yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Edgar Ramirez 11-7, 11-9, 11-9.

Berita Harian X