Ahad, 28 April 2024 | 2:12pm
Gandingan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee meraih mata tunggal skuad negara ketika berdepan Taiwan pada aksi pertama Piala Uber di Chengdu, China hari ini. – Foto Persatuan Badminton Malaysia/Sabri Hassan
Gandingan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee meraih mata tunggal skuad negara ketika berdepan Taiwan pada aksi pertama Piala Uber di Chengdu, China hari ini. – Foto Persatuan Badminton Malaysia/Sabri Hassan

Skuad Piala Uber tumbang di tangan Taiwan

KUALA LUMPUR: Mata penyamaan yang diraih beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tidak berupaya untuk terus melonjakkan motivasi skuad Piala Uber negara apabila tewas 1-4 di tangan Taiwan dalam aksi pertama Kumpulan B, sebentar tadi.

Goh Jin Wei turun sebagai perseorangan pertama negara di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Chengdu, China untuk bertemu pemain utama Taiwan, Tai Tzu Ying dan biarpun sudah memberikan tentangan sengit namun lawan di ranking kelima dunia itu sukar untuk dijinakkannya.

Jin Wei yang berada di ranking ke-32 dunia tewas 19-21, 20-22 di tangan Tzu Ying dalam tempoh 33 minit dan sekalipun Taiwan mendahului 1-0, namun ia tidak mematahkan semangat Pei Kee-Mei Xing untuk kembali melonjakkan semangat pasukan.

Pei Kee-Mei Xing berjaya menewaskan lawan mereka di ranking ke-24 dunia Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching dengan kemenangan straight set 21-19, 21-17 sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

"Saya rasa tak ada tekanan (selepas Jin Wei tewas). Rasa gemuruh itu ada tetapi saya bangkit dan cuba tenangkan diri selain memikirkan hanya untuk melakukan yang terbaik dalam gelanggang," kata Pei Kee.

Dalam pada itu, rakan gandingan Pei Kee yang juga kapten pasukan Piala Uber negara, Mei Xing menganggap mata penyamaan diraih mereka mampu membantu pasukan untuk terus bermotivasi.

"Saya rasa sangat penting kerana semua junior dan kali pertama. Kalau lawan mendahului 1-0 atau 2-0, mereka akan memasuki gelanggang dengan perasaan lebih gemuruh. Jadi kalau kami (dia dan Pei Kee) dapat mata, ia sesuatu yang bagus untuk melonjakkan semangat pasukan," kata Mei Xing.

Kemenangan Pei Kee-Mei Xing berjaya melonjak semangat perseorangan kedua negara, K Letshanaa untuk beraksi lebih cemerlang pada perlawanan ketiga namun lawannya Hsu Wen Chi mampu mempamerkan kebangkitan selepas tewas di set pertama 13-21.

Wen Chi kembali meletakkan Taiwan di hadapan 2-1 dengan melakar kemenangan 13-21, 21-17, 21-16.

Taiwan terus mendahului apabila beregu kedua mereka, Hu Ling Fang-Teng Chun Hsun menewaskan Ho Lee Ee-Tan Zhing Yi 21-17, 21-11 dalam tempoh 32 minit sebelum Sung Shuo Yun memuktamadkan kemenangan 4-1 dengan menundukkan Wong Ling Ching 21-17, 22-20.

Berita Harian X