Sabtu, 27 April 2024 | 5:11pm
Zhing Yi (kiri) bersama gandingannya, Lo Ee ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), baru-baru ini. - NSTP/SUKHAIRI THANI
Zhing Yi (kiri) bersama gandingannya, Lo Ee ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), baru-baru ini. - NSTP/SUKHAIRI THANI

Piala Uber: Skuad wanita sedia lakar kejutan

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara, Tan Zhing Yi menyemat keyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukan Piala Uber kali ini untuk melakar kejutan pada aksi pertama Kumpulan B menentang Taiwan, esok.

Zhing Yi yang berkemungkinan digandingkan bersama Ho Lo Ee mengakui Taiwan bukanlah lawan yang mudah apatah lagi mereka bakal turun selaku pasukan 'underdog'.

"Harapan kami adalah untuk cuba melakar kejutan ke atas pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Semangat pasukan berada dalam keadaan baik dan kami juga tidak merasa sebarang tekanan," kata Zhing Yi.

Skuad Piala Uber negara yang kali ini diketuai Teoh Mei Xing rata-ratanya dibarisi pemain muda dengan beregu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun Siti Zulaikha Azmi; Zhing Yi (21); Lo Ee (21); Chan Wen Tse (19) dan Go Pei Kee (22).

Pemain perseorangan pula diketuai Goh Jin Wei (24); K Letshanaa (20); Wong Ling Ching (20) dan Siti Nurshuhaini Azman (19).

Edisi kali ini juga menyaksikan Malaysia tidak menyenaraikan Pearly Tan-M Thinaah bagi membolehkan beregu wanita nombor satu negara itu memberikan masa yang lebih untuk melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai.

Selepas perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Taiwan, Malaysia turut dijadual mengharungi perlawanan berdepan Thailand sebelum menentang Australia, 1 Mei ini.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengharapkan barisan pemain dapat menunjukkan prestasi yang baik sama seperti ditunjukkan mereka ketika sesi latihan sebelum ini.

"Buat masa ini, skuad Piala Uber tidak diberikan banyak perhatian tetapi mereka sentiasa menunjukkan aksi positif dalam sesi latihan.

"Saya harap mereka boleh mengekalkan aksi seperti itu dalam perlawanan nanti," kata Rexy.

Berita Harian X