Sabtu, 27 April 2024 | 4:26pm
Aksi Aaron-Wooy Yik ketika menentang pasangan Hong Kong. - Sabri Hassan/BAM
Aksi Aaron-Wooy Yik ketika menentang pasangan Hong Kong. - Sabri Hassan/BAM

Aaron mahu perbaiki kelemahan

KUALA LUMPUR: Pemain beregu utama negara, Aaron Chia menyifatkan masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki bersama gandingannya Soh Wooi Yik pada kempen Piala Thomas 2024 yang membuka tirainya hari ini.

Walaupun berjaya membantu negara memperoleh mata pada aksi pertama Kumpulan D menentang Hong Kong, namun Aaron dapat merasakan masih ada sesuatu yang boleh diperbaiki bagi membantu pasukan mengharungi perlawanan seterusnya.

Gandingan juara 2022 itu menghadiahkan mata kedua buat skuad negara selepas menewaskan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi straight set 21-16, 21-12 dalam tempoh 27 minit.

"Saya rasa masih ada kekurangan lagi tetapi (keseluruhan) OK dengan perlawanan hari ini," kata Aaron.

"Mungkin ini disebabkan yang kita mempunyai kelebihan berbanding lawan namun apa yang penting, kita kena terus fokus untuk setiap perlawanan akan datang kerana ia penting buat pasukan."

Skuad Piala Thomas negara mencatat kemenangan maksimum 5-0 ke atas Hong Kong dengan mata pertama Malaysia disumbangkan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia yang menewaskan Lee Chiuk Yiu 21-18, 21-18.

Mata ketiga negara diperoleh menerusi perseorangan negara,Leong Jun Hao yang menewaskan Ng Ka Long Angus 17-21, 21-12, 21-15 sebelum beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih kemenangan ke atas Lee Chun Hei Reginald-Tang Chung Man 21-19, 21-17.

Justin Hoh memuktamadkan kemenangan buat pasukan negara apabila menewaskan perseorangan Hong Kong, Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17 dalam tempoh 59 minit sekali gus menyuntik semangat bagi mengharungi perlawanan kedua kumpulan bertemu Algeria, esok.

Berita Harian X