Sabtu, 27 April 2024 | 1:38pm
Lee Zii Jia memberikan mata pertama negara selepas menewaskan Lee Cheuk Yiu. - Foto ihsan BAM
Lee Zii Jia memberikan mata pertama negara selepas menewaskan Lee Cheuk Yiu. - Foto ihsan BAM

Skuad Piala Thomas lepasi halangan awal

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan bergaya apabila memperoleh kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong pada aksi pertama Kumpulan D yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Chengdu, China, sebentar tadi.

Mata pertama skuad Piala Thomas diraih pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang menewaskan Lee Cheuk Yiu dengan straight set 21-18, 21-18 dalam 45 minit dengan kemenangan itu secara tidak langsung menjadikan rekod kemenangan antara mereka kini terikat 2-2 selepas empat pertemuan.

"Secara keseluruhannya bagus, boleh memberikan satu mata untuk pasukan Malaysia," kata Zii Jia.

"Jujurnya saya agak tertekan juga sebelum ini kerana secara peribadinya sedar yang mata ini sangat penting buat pasukan.

"Saya hanya memberikan yang terbaik... saya dan Cheuk Yiu sudah banyak kali bertemu sebelum ini dan kami tahu (keupayaan) masing-masing."

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus memberikan tekanan kepada Hong Kong apabila memperoleh mata kedua pasukan selepas menewaskan gandingan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12 dalam tempoh 27 minit.

Momentum itu kemudiannya diteruskan oleh perseorangan kedua, Leong Jun Hao yang berjaya bangkit selepas tewas di set pertama untuk menewaskan Ng Ka Long Angus yang berada di ranking ke-27 dunia 17-21, 21-12, 21-15.

"Memang saya tahu akan berjumpa Angus, jadi ada buat persiapan, melihat video bagaimana untuk menyainginya dan semua persiapan dan perancangan itu menjadi. Saya gembira kerana berjaya membantu pasukan memperoleh mata," kata Jun Hao.

Beregu muda lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meletakkan pasukan terus berada dalam keadaan selesa apabila menewaskan gandingan Lee Chin Hei Reginald-Tang Chun Man 21-19, 21-18 sebelum perseorangan ketiga lelaki negara, Justin Hoh memuktamadkan kemenangan 5-0 buat Malaysia.

Justin memenangi mata kelima negara selepas menundukkan Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17 dalam tempoh 59 minit. Malaysia selepas ini dijadual Algeria esok sebelum bertemu Denmark yang juara edisi 2016 pada Selasa.

Berita Harian X