Jumaat, 26 April 2024 | 6:36pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik. - BERNAMA
Beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik. - BERNAMA

Jangan pandang ringan ancaman Hong Kong

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara bakal memulakan saingan di Chengdu, China esok bertemu Hong Kong dengan lawan pertama dalam Kumpulan D itu tidak seharusnya dipandang ringan oleh setiap pemain.

Pemain beregu negara, Aaron Chia berkata, pasukan harus memanfaatkan pertemuan di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech itu untuk memperoleh kemenangan biarpun sedar Hong Kong mempunyai kelebihan dari aspek pemain perseorangan.

"Saya rasa mereka mempunyai beberapa pemain perseorangan yang baik tetapi kita tetap memiliki kelebihan berbanding mereka," kata Aaron.

"Kemampuan perseorangan mereka boleh dikatakan seimbang namun paling penting pasukan kita jauh lebih bersemangat dan saya rasa tiada masalah untuk mengatasi Hong Kong.

"Kemenangan ke atas Hong Kong sudah pasti memberi motivasi buat pasukan untuk membuka peluang melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini sekali gus memperoleh pencapaian lebih baik berbanding terkandas di suku akhir pada edisi 2022 di Thailand.

"Kita sudah biasa dalam banyak acara berpasukan seperti di Sukan Asia, Sukan SEA, berpasukan campuran... apa yang paling penting buat saya adalah komunikasi dalam pasukan," kata Aaron.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik turut mengakui Piala Thomas menjadi satu-satunya kejohanan besar yang belum dirasainya bersama pasangan untuk berada di pentas podium dan itu berada dalam senarai impiannya.

"Sudah tentu kali ini saya nak dapatkan pingat, tak kiralah apapun warnanya," kata Aaron mengenai edisi ke-33 itu yang menyaksikan Malaysia turut diundi bersama juara 2016, Denmark dan Algeria dalam Kumpulan D.

"Di atas kertas memang Denmark agak kuat terutama dalam acara perseorangan dan untuk beregu pula mereka juga tidak kurang hebatnya. Namun kita boleh dikatakan sebagai 'underdog', hanya lakukan yang terbaik."

Untuk rekod, skuad negara pernah menjulang trofi Piala Thomas sebanyak lima kali iaitu pada 1949, 1952, 1955, 1967 dengan kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Malaysia turut pernah muncul naib juara sebanyak sembilan kali iaitu pada 1958, 1970, 1976, 1988, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2014.

Pada edisi terakhir di Bangkok, Thailand dua tahun lalu, skuad Piala Thomas tersingkir di suku akhir di tangan juara sebenar, India 2-3.

Berita Harian X