Jumaat, 26 April 2024 | 3:14pm
Pasukan Piala Thomas dan Piala Uber negara sedia melontarkan cabaran pada pusingan akhir di Chengdu, China bermula esok. – Foto NSTP/Sadiq Sani
Pasukan Piala Thomas dan Piala Uber negara sedia melontarkan cabaran pada pusingan akhir di Chengdu, China bermula esok. – Foto NSTP/Sadiq Sani

Bolehkah Zii Jia dan rakan tamatkan kemarau Piala Thomas?

CHENGDU, China: Menang besar atau balik, itu situasi menanti pasukan badminton lelaki negara yang berhasrat untuk mengukir nama mereka dalam sejarah dengan mengakhiri kemarau 32 tahun negara bergelar juara Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, bermula esok.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri mencabar pemainnya tidak mustahil untuk membawa pulang Piala Thomas dengan syarat mereka perlu mempamerkan semangat patriotik dan juang yang tidak berbelah bahagi sepanjang kejohanan yang diadakan di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone.

Bagaimanapun, persiapan pasukan negara dibelenggu beberapa isu luar gelanggang membabitkan kem perseorangan lelaki termasuk kontroversi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dan ketiadaan Ng Tze Yong selepas belum pulih daripada kecederaan belakang.

Zii Jia sekali lagi mencuri tumpuan menjelang kejohanan apabila dia menuntut bayaran 'hak imej' dan menarik diri daripada menyertai kem latihan pasukan negara selama seminggu di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Kini pemain nombor 10 dunia itu 'bersatu' dengan pasukan negara, Piala Thomas menjadi peluang terbaik buatnya 'menutup mulut' pengkritik dengan memberikan segala yang mampu bagi menyumbang mata berharga kepada Malaysia di China.

Ini kerana berdasarkan fakta juara Seluruh England 2021 itu mampu menjadi taruhan paling selamat bagi negara ekoran kerapuhan kem perseorangan lelaki ketika ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia menjadi sandaran untuk mengutip mata pertama menerusi acara perseorangan pada Piala Thomas Chengdu 2024. – Foto BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia menjadi sandaran untuk mengutip mata pertama menerusi acara perseorangan pada Piala Thomas Chengdu 2024. – Foto BERNAMA

Jika dilihat rekod Zii Jia dalam acara berpasukan sejak musim 2022, pemain berusia 26 tahun itu tidak mengecewakan apabila hanya kalah sekali sepanjang 18 perlawanan termasuk tiga kemenangan pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, sebelum Malaysia dinafikan kemaraan oleh India 3-2 pada suku akhir.

Mengiringi Zii Jia adalah juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao yang mungkin mengambil tanggungjawab sebagai perseorangan kedua diikuti oleh Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Kekuatan sebenar Malaysia terletak pada segmen beregu yang diketuai oleh juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, naib juara Kejohanan Badminton Asia 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan gandingan sedang meningkat Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Dengan Wooi Yik sebagai ketua pasukan, Malaysia yang tampil sebagai pilihan kelima, akan membuka kempen dalam Kumpulan D dengan menentang Hong Kong pagi esok.

Kem perseorangan negara perlu berhati-hati terhadap ancaman yang mungkin ditimbulkan oleh Hong Kong kerana 'rahsia' Malaysia berada dalam genggaman bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Wong Choong Hann.

Kini berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong, Choong Hann mungkin menggunakan kepakarannya untuk membantu pemain nombor 15 dunia, Lee Cheuk Yiu serta Angus Ng Ka Long dan Jason Gunawan bagi menyekat Zii Jia dan rakan-rakannya.

Bekas juara dunia Aaron China (kanan) dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran Rexy Mainaky untuk mengutip mata menerusi acara beregu. – Foto BERNAMA
Bekas juara dunia Aaron China (kanan) dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran Rexy Mainaky untuk mengutip mata menerusi acara beregu. – Foto BERNAMA

Walaupun Malaysia mempunyai kelebihan menerusi beregu mereka, pasukan negara tidak boleh memandang rendah pengaruh seorang lagi bekas pemain beregu lelaki negara, Choong Tan Fook kerana di bawah bimbingannya Hong Kong berpotensi menemukan strategi untuk mengecewakan lawan mereka.

Meraih kemenangan ke atas Hong Kong penting bagi Malaysia melepasi peringkat kumpulan lebih awal kerana dijangkakan tiada masalah bagi mereka untuk mengetepikan saingan pemain muda Algeria Ahad ini, sebelum menutup tirai Kumpulan D dengan menentang juara 2016 dan jaguh Eropah, Denmark.

Di atas kertas, Denmark mungkin mempunyai kelebihan ke atas Malaysia dengan barisan pemainnya seperti pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dan nombor empat dunia Anders Antonsen yang mewakili perseorangan lelaki, selain gandingan nombor empat dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Dalam pada itu, sokongan kuat penyokong sendiri mampu membakar semangat pilihan utama, China untuk menjulang piala itu buat kali ke-11 selepas kali terakhir mereka bergelar juara pada 2018 di Bangkok mengalahkan juara bertahan Jepun 3-1.

China, yang menurunkan barisan terkuat mereka termasuk perseorangan nombor dua dunia Shi Yuqi dan nombor enam dunia Li Shifeng serta juara beregu lelaki Asia, Liang Wei Keng-Wang Chang, akan menjadi pasukan yang perlu ditewaskan dalam Kumpulan A, yang turut menampilkan Korea Selatan, Kanada dan Australia.

Bagi Kumpulan B, tumpuan sudah tentunya terarah kepada Jepun yang mengintai gelaran juara kali kedua sekali gus menjadi hadiah perpisahan istimewa buat Kento Momota selepas juara dunia dua kali itu mengumumkan persaraan daripada arena badminton antarabangsa selepas kejohanan di Chengdu.

Piala Thomas yang menjadi rebutan pasukan badminton lelaki dunia. – Foto AGENSI
Piala Thomas yang menjadi rebutan pasukan badminton lelaki dunia. – Foto AGENSI

Jepun berdepan laluan mudah untuk mengungguli Kumpulan B apabila mereka hanya perlu mengatasi Taiwan, Jerman dan Republik Czech.

Walaupun mengekalkan lapan daripada 10 muka lama termasuk Lakshya Sen, HS Prannoy, Kidambi Srikanth dan juara beregu lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang membantu India mencipta sejarah menjulang Piala Thomas buat julung kali, tugas getir menunggu mereka selepas diundi dalam Kumpulan C.

Digelar sebagai 'kumpulan maut', Kumpulan C menjanjikan saingan menarik apabila juara bertahan akan berdepan dengan pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Thomas dan juara 14 kali, Indonesia, selain Thailand dan England.

Sementara itu, dalam aksi Piala Uber, ketiadaan pasangan beregu utama negara Pearly Tan-M Thinaah pada kejohanan kali ini mungkin menjejaskan pasukan negara sebagai pilihan ke-10 dalam Kumpulan B, yang turut disertai pilihan keempat Thailand, pilihan keenam Taiwan dan Australia.

Walaupun pasukan wanita tidak diberikan harapan tinggi, edisi kali ini boleh menjadi platform terbaik buat pemain beregu Teoh Mei Xing menampilkan peningkatan dan memberi inspirasi kepada rakan sepasukan terdiri daripada Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse untuk beraksi dengan membanggakan.

Sama seperti pasukan lelaki, skuad wanita China yang juga naib juara edisi terdahulu, akan membariskan pasukan terbaik mereka dalam usaha untuk merampas gelaran daripada Korea Selatan dan berharap dapat bergelar juara buat kali keempat di tanah air sendiri, selepas tiga kejuaraan sebelum ini semua dimenangi di China iaitu Guangzhou 2022, Wuhan 2012 dan Kunshan 2016.

Pemain perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota mahu menggantung raket selepas Pusingan Akhir Piala Thomas-Uber di Chengdu, China. – Foto BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota mahu menggantung raket selepas Pusingan Akhir Piala Thomas-Uber di Chengdu, China. – Foto BERNAMA

Empat pemain perseorangan terbaik dunia terdiri daripada pemain nombor dua dunia Chen Yufei, He Bingjiao (ranking keenam), Han Yue (ranking ketujuh) dan Wang Zhiyi (ranking kelapan) bersama beregu wanita nombor satu dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan dan pasangan nombor tiga dunia, Liu Shengshu-Tan Ning sudah pasti akan memainkan peranan masing-masing dalam Kumpulan A menentang India, Kanada dan Singapura.

Satu lagi pasukan pilihan, Jepun akan lebih bergantung kepada juara dunia dua kali Akane Yamaguchi dan beregu mereka termasuk gandingan keempat dunia Nami Matsuyama-Chiharu Shida untuk meningkatkan prestasi mereka selepas meraih gangsa di Bangkok pada 2022.

Indonesia pula menjadi cabaran sengit kepada Jepun dalam Kumpulan C bersama Hong Kong dan Uganda.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia An Se Young dan beregu kedua terbaik dunia ketika ini Baek Ha Na-Lee So Hee akan mengetuai cabaran Korea Selatan dalam Kumpulan D yang turut disertai Denmark, Amerika Syarikat dan Mexico.

Pusingan Akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2024 yang berlangsung selama sembilan hari akan berakhir pada 5 Mei. – BERNAMA

Berita Harian X