Khamis, 25 April 2024 | 6:39pm
Pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian sebelum berlepas ke Chengdu, China bagi menyertai Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. - NSTP/SADIQ SANI
Pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian sebelum berlepas ke Chengdu, China bagi menyertai Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. - NSTP/SADIQ SANI

Hon Jian tetap bersedia walaupun dipilih saat akhir

KUALA LUMPUR: Biarpun dipilih untuk berada dalam skuad Piala Thomas di saat akhir namun pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian tetap bersemangat dan bersyukur untuk menggalas cabaran negara di Chengdu, China bermula Sabtu ini.

Hon Jian yang diumumkan sebagai pengganti kepada pemain berseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong minggu lalu berkata, dia teruja apabila disenaraikan apatah lagi bakal kembali bersama dengan rakan gandingannya, Muhammad Haikal Nazri.

"Sangat gembira kerana dapat masuk (skuad Piala Thomas) walaupun di saat akhir. Pada mulanya, saya pun tak tahu kerana pasukan boleh membuat pilihan sama ada mahu mengambil pemain perseorangan ataupun beregu.

"Ketika Haikal terpilih (lebih awal berbanding dirinya), saya tak fikir apa-apa kerana bagi saya, kami semua dalam satu pasukan, tak boleh fikir yang tidak sepatutnya.

"Sudah pasti saya akan berikan yang terbaik sekiranya saya dipilih untuk beraksi nanti," kata Hon Jian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Chengdu, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengumumkan Tze Yong terpaksa digugurkan daripada skuad Piala Thomas negara kerana pemain berkenaan didapati masih belum cergas sepenuhnya.

Rexy berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan pengurusan yang berpendapat ada keperluan untuk pasukan menambah pemain beregu.

Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kecederaan belakang dan terpaksa menjalani pembedahan pada Februari lalu.

Dia kemudian menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dengan ketiadaan Tze Yong, Malaysia kini hanya mempunyai empat perseorangan yang akan menggalas cabaran iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu akan diperkuatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Hon Jian.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Piala Thomas akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Berita Harian X