Rabu, 24 April 2024 | 9:53pm
Skuad Piala Thomas dan Uber negara bergambar bersama sebelum berlepas ke Chengdu, China di KLIA2, Sepang hari ini. – Foto NSTP/Helmi Talkah
Skuad Piala Thomas dan Uber negara bergambar bersama sebelum berlepas ke Chengdu, China di KLIA2, Sepang hari ini. – Foto NSTP/Helmi Talkah

Pasport tertinggal dalam bas tidak patah semangat pemain - Rexy

SEPANG: Skuad badminton lelaki negara sudah bersedia untuk memulakan cabaran pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula Sabtu ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata pemain bukan sahaja sudah menghabiskan masa menjalani latihan bersama tetapi turut melakukan aktiviti berkumpulan bagi meningkatkan tahap kerjasama sepasukan.

Faktor itu dilihat mampu menjadi kunci kejayaan buat Malaysia bagi mencatat kemenangan sulung ke atas Hong Kong yang dianggap sebagai penentu untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

"Seperti saya cakap sebelum ini, mood pasukan berada dalam keadaan baik dan kalau kita lihat, semuanya positif. Semua pemain menjalani latihan serta melakukan aktiviti seperti sarapan pagi bersama.

"Ini sesuatu yang sangat baik dan harap ia dapat dikekalkan hingga ke Chengdu. Saya juga tidak mahu ada pemikiran negatif bila tiba di sana nanti," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Chengdu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Selepas bertemu Hong Kong, skuad negara akan berdepan Algeria pada Ahad sebelum menentang pasukan gergasi Eropah, Denmark pada aksi terakhir Kumpulan D.

Menurut Rexy, beberapa insiden termasuk salah seorang pemain tertinggal pasport di dalam bas boleh dibalas dengan kejayaan Malaysia menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

"Kami mahu lupakan segala kesukaran di sini termasuk ada pemain yang tertinggal pasport di dalam bas. Diharapkan ia boleh dibalas dengan kejayaan pasukan membawa pulang trofi Piala Thomas," katanya.

Pada saingan kali ini, Malaysia membariskan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh bagi acara perseorangan manakala beregu diperkuatkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Berita Harian X