Rabu, 24 April 2024 | 5:48pm
Pemain badminton negara bergambar di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum berlepas ke Chengdu, China bagi menyertai Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. - NSTP/SADIQ SANI
Pemain badminton negara bergambar di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum berlepas ke Chengdu, China bagi menyertai Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. - NSTP/SADIQ SANI

Skuad Piala Uber jangan gentar

KUALA LUMPUR: Jangan gentar!

Itu peringatan diberikan kapten negara, Teoh Mei Xing kepada rakan sepasukan apabila mereka memulakan cabaran pada kempen Piala Uber di Chengdu, China yang bermula Sabtu ini.

Pemain beregu wanita negara berusia 27 tahun itu, berkata biarpun dibarisi rata-rata pemain muda tetapi itu tidak seharusnya menjadi penghalang buat mereka biarpun perlu berdepan dengan pemain dan pasukan yang memiliki reputasi lebih tinggi.

Katanya, dia mahu semua pemain menghargai peluang dapat beraksi dalam kejohanan berprestij seperti Piala Uber.

"Saya harap mereka hargai peluang bermain di Piala Uber, ini bukan kejohanan kecil. Semua pemain utama dunia turut beraksi dalam kejohanan ini.

"Jadi, pemain perlu berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan, jangan sesekali berasa gentar, berikan yang terbaik," katanya.

Mei Xing yang hampir pasti bergandingan dengan Go Pei Kee, berkata dia akan sentiasa membakar semangat rakan sepasukan untuk tampil berani seperti yang dilakukannya ketika mahukan mereka menyanyikan lagu 'Semangat Berpasukan' dengan kuat ketika kem latihan pusat.

"Kami menyanyikan lagu itu setiap hari dan ia membantu meningkatkan semangat berpasukan kami.

"Pada awalnya, rakan sepasukan saya agak malu untuk menyanyikan lagu itu. Namun, sebagai kapten, saya menunjukkan contoh...saya menyanyi dengan kuat dan jelas, selepas galakan daripada saya pakar psikologi (Frederick Tan), mereka boleh hafal lirik dan menyanyi dengan kuat.

"Saya tegaskan kepada mereka, jika tidak berani untuk menyanyi, bagaimana mereka boleh bermain tanpa rasa gentar di dalam gelanggang nanti," kata Mei Xing.

Pada kempen kali ini, skuad negara rata-ratanya dibarisi pemain muda dengan beregu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun, Siti Zulaikha Azmi, Tan Zhing Yi (21), Ho Lo Ee (21), Chan Wen Tse (19) dan Pei Kee (22) manakala perseorangan diketuai Goh Jin Wei (24) K. Letshanaa (20), Wong Ling Ching (20) dan Siti Nurshuhaini Azman (19).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka tirai saingan menentang Taiwan pada Ahad ini sebelum menentang Thailand keesokan harinya dan Australia pada 1 Mei.

Berita Harian X