Rabu, 24 April 2024 | 1:29pm
Leong Jun Hao (kiri) dan Lee Zii Jia.
Leong Jun Hao (kiri) dan Lee Zii Jia.

Jun Hao mahu 'tuntut ilmu' Zii Jia

KUALA LUMPUR: Leong Jun Hao mahu 'menuntut ilmu' daripada jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dalam persiapan menjelang aksi pertama Piala Thomas antara Malaysia menentang Hong Kong di Chengdu, China, Sabtu ini.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-37 dunia itu hampir pasti menggalas tugas selaku perseorangan kedua dan dijangka bertemu pemain berpenglaman Hong Kong yang berada di ranking ke-26, Ng Ka Long.

Kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.

Bagaimanapun, Zii Jia sudah tujuh kali bertemu Ka Long dengan dia berjaya merekodkan tiga kemenangan termasuk dua pertemuan terakhir antara mereka ketika Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu dan Masters Indonesia, Januari lalu.

Justeru, Jun Hao mahu mendapatkan 'petua' daripada Zii Jia bagi menumbangkan Ka Long sekali gus menyumbang mata kepada pasukan.

"Saya belum berkesempatan lagi bercakap dengan Zii Jia mengenai hal ini tetapi apabila dia menyertai pasukan nanti, sudah tentu saya akan tanya dia (cara untuk menentang Ka Long). Mungkin dia boleh bantu saya.

"Saya juga akan bincang dengan jurulatih dan buat analisis mengenai corak permainan Ka Long sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan itu nanti.

"Saya akan buat persiapan terbaik dan sudah tentu matlamatnya adalah untuk membantu pasukan mengutip mata," kata Jun Hao.

Zii Jia tidak menyertai kem latihan pusat skuad negara yang diadakan sejak minggu lalu di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kerana ada program latihan tersendiri bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Namun, dia akan menyertai pasukan apabila skuad negara berlepas ke Chengdu, hari ini.

Selain Ka Long, Jun Hao juga dijangka bertemu pemain nombor tiga dunia, Anders Antonsen apabila Malaysia bertemu Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan D pada 30 April.

Skuad negara turut dijadual bertemu Algeria untuk aksi kedua, sehari selepas menentang Hong Kong.

Dalam pada itu, Jun Hao menyifatkan pasukan negara kali ini dilihat seimbang sekali gus mampu menjadi pencabar utama kejuaraan.

"Pasukan kali ini lebih seimbang kerana kita dibarisi beberapa pemain yang sudah beberapa kali bermain di Piala Thomas dan berpengalaman. Jadi, kami hanya perlu tampilkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan nanti," katanya.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X