Selasa, 23 April 2024 | 6:48pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu skuad Piala Thomas negara tunjuk semangat kerjasama terbaik. - NSTP/AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu skuad Piala Thomas negara tunjuk semangat kerjasama terbaik. - NSTP/AIMAN DANIAL MOHD HOOD AKTHA

Piala Thomas: Kem badminton perlu main peranan masing-masing - Hannah

PUTRAJAYA: Skuad badminton negara yang menggalas cabaran di kejohanan Piala Thomas 2024 berlangsung di Chengdu, China bermula Sabtu ini diminta memainkan peranan masing-masing dalam usaha menjulang piala keramat yang kali terakhir diraih kem badminton Piala Thomas 1992.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata semangat kerjasama ditunjukkan kem badminton ketika itu ialah kunci kejayaan utama Malaysia berhasil menjulang piala itu, 32 tahun lepas.

"Saya harap skuad negara baik lelaki mahupun wanita (Piala Uber) akan mainkan peranan masing-masing dalam kejohanan itu dan yang paling penting adalah kerjasama sepasukan. Mereka kena benar-benar bertarung kerana Piala Thomas amat penting buat peminat sukan tanah air.

"Mereka perlu melakukan yang terbaik, ada atau tiada peluang. Saya hanya berharap setiap pemain dapat menyumbang, itu paling penting. Mereka tidak boleh hanya memikirkan tentang diri sendiri, semangat itulah yang kita lihat pasukan 1992 ketika mereka bersaing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan dengan industri bagi pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Gig di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur dengan pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).

Pada saingan kali ini, Malaysia dibarisi empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D, akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Terdahulu, pada majlis MoU tersebut menyaksikan KBS mengorak langkah ke hadapan melaksana program rintis menerusi kerjasama lima rakan strategik bagi memperkasa belia serta melonjakkan kebolehpasaran pelajar TVET dan Ekonomi Gig.

Hannah berkata peringkat permulaan, KBS akan memfokuskan lapan bidang kemahiran iaitu Teknologi Sukan, Fesyen dan Pakaian Automotif, Hospitaliti, Automotif, Fotografi dan Teknologi Maklumat, Kosmetologi serta elektrikal dan mekanikal.

Usaha rintis tersebut dijangka memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dan 3,000 belia di seluruh negara. – BERNAMA

Berita Harian X