Selasa, 23 April 2024 | 6:02pm
Pemain perseorangan profesional negara, Cheam June Wei terpilih untuk ke Piala Thomas. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Pemain perseorangan profesional negara, Cheam June Wei terpilih untuk ke Piala Thomas. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Wakili negara kesempatan dinanti June Wei

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei menyifatkan aksi di Piala Thomas menjadi peluang buat dirinya untuk mengukuhkan kerjaya sebagai pemain profesional.

June Wei yang akan membuat penampilan kedua dalam kejohanan berpasukan itu, berkata pemain profesional sepertinya mampu menarik minat penaja jika sering beraksi dalam kejohanan utama.

"Mendapat panggilan untuk bermain dalam Piala Thomas adalah satu penghormatan untuk saya dan memberi suntikan baharu kepada pemain profesional seperti saya.

"Sebagai pemain profesional, kami berpeluang untuk menarik minat penaja apabila sering beraksi dalam kejohanan utama. Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana beri peluang ini kepada saya," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

June Wei antara empat pemain perseorangan yang disenaraikan BAM pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula minggu ini selain Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

Dia meninggalkan skuad kebangsaan pada 2021 selepas gagal mencetuskan impak sebagai pemain senior.

Bagaimanapun, sebagai perseorangan keempat terbaik negara di belakang Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia, Ng Tze Yong (18), Jun Hao (37), kehadiran June Wei yang berada di kedudukan ke-63 dilihat mampu menambah kekuatan skuad negara untuk menghadapi saingan di Chengdu.

June Wei yang menggalas tugas selaku perseorangan kedua pada edisi 2020 di Aarhus, Denmark percaya Malaysia mempunyai peluang cerah untuk melangkah jauh tahun ini.

Katanya, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Hong Kong pada aksi sulung Kumpulan D dan mempunyai potensi untuk melakar kejutan ke atas pasukan pilihan, Denmark.

Satu lagi pasukan dalam Kumpulan D adalah Algeria.

"Jika saya diturunkan, saya akan bermain sebagai perseorangan ketiga atau kedua. Ia bergantung kepada keputusan jurulatih sekiranya mahu merehatkan Zii Jia atau Jun Hao.

"Atas kertas, kami mampu mengatasi Hong Kong kerana semangat berpasukan kami adalah lebih baik.

"Menentang Denmark, kami juga ada peluang untuk menang. Saya tidak bermain menentang pemain perseorangan ketiga atau keempat Hong Kong (Chan Yin Chak dan Jason Gunawan) sebelum ini tetapi pemain Denmark, Anders Antonsen dan Rasmus Gemke adalah 'batch' yang sama dengan saya.

"Saya pernah bermain menentang mereka beberapa kali termasuk ketika peringkat remaja," kata June Wei.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X