Isnin, 22 April 2024 | 4:17pm
Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (kiri) bersalam dengan Aaron Chia pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang akan bertanding di Piala Thomas dan Uber 2024, hari ini. - BERNAMA
Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (kiri) bersalam dengan Aaron Chia pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang akan bertanding di Piala Thomas dan Uber 2024, hari ini. - BERNAMA

Piala Thomas: Norza cabar pemain cipta sejarah baharu

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melontarkan cabaran kepada skuad lelaki negara untuk mencipta sejarah baharu dengan menjuarai saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Beliau berkata pemain generasi baharu yang ada ketika ini tidak lagi boleh terus dibuai dengan kejayaan lampau biarpun Malaysia pernah lima kali muncul juara kejohanan berprestij itu sebelum ini.

Katanya, lakaran sejarah baharu itu penting sebagai sebuah negara kuasa badminton.

"Kita tidak boleh sering dibuai mimpi-mimpi indah bahawa kita adalah negara (kuasa) badminton, tidak menang Kejohanan Dunia, tidak menang Piala Thomas, tidak menang pingat emas (Olimpik)… saya rasa kita tak boleh menggunakan gelaran itu (negara kuasa badminton) selagi tidak mencapai semua (kejuaraan).

"Sudah tiba masanya set pemain baharu ini membina sejarah baru," kata Norza ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Piala Thomas/Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Pencapaian terbaik skuad negara selepas itu adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).

Menurut Norza, perkara yang membezakan pasukan negara dengan pesaing adalah semangat juang, iaitu sifat patriotisme dalam jiwa setiap pemain yang mahu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Semangat juang kita adalah bagaimana kita cintakan bendera kita. Bendera kita adalah lambang maruah kita… sejauh mana anda ingin mempertahankan, iaitu macam mana anda pergi mempertahankan negara ini dalam perang," katanya.

Dalam pada itu, Norza turut mengesahkan BAM menyediakan ganjaran kepada skuad negara sekiranya menjuarai Piala Thomas kali ini tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.

"Saya rasa ia bersesuaian dengan Piala Thomas itu sendiri, yang berada di tahap berbeza, malah ketika ini kita (BAM) bukannya berada pada tahap kantung kosong.

"Apapun kita ada perancangan yang sesuai dengan prestij Piala Thomas itu," katanya yang turut memaklumkan Piala Thomas tahun ini menjadi yang terakhir buatnya sebagai Presiden BAM sebelum beliau mengundurkan diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada saingan kali ini, Malaysia dibarisi empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddi Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Berita Harian X