Ahad, 21 April 2024 | 3:20pm
Jun Hao hampir pasti pikul tanggungjawab selaku perseorangan kedua negara pada kempen Piala Thomas.
Jun Hao hampir pasti pikul tanggungjawab selaku perseorangan kedua negara pada kempen Piala Thomas.

Jun Hao sedia pikul tugas Tze Yong

KUALA LUMPUR: Leong Jun Hao sedia menyahut cabaran untuk menggalas tugas selaku perseorangan kedua skuad negara pada kempen Piala Thomas di Chengdu, China bermula Sabtu ini.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-37 dunia itu hampir pasti memikul tanggungjawab berkenaan selepas Ng Tze Yong digugurkan daripada pasukan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang dialaminya.

Ini bukan kali pertama bekas juara remaja Asia itu perlu menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lalu, pemain berusia 24 tahun itu beraksi selaku perseorangan kedua dalam hampir semua perlawanan malah dia turut memikul tanggungjawab sebagai perseorangan pertama ketika menentang China di pentas final selepas Lee Zii Jia mengalami masalah resdung.

Ketika itu, Jun Hao mencatat kemenangan ke atas pemain Taiwan, Lee Chia Hao dalam saingan peringkat kumpulan sebelum menundukkan Joel Koh dari Singapura di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, dia tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe pada aksi separuh akhir dan wakil China, Weng Hongyang ketika final.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 0-3 di tangan China.

Pada kempen Piala Thomas kali ini, Jun Hao perlu bersedia berdepan cabaran lebih besar apabila dia dijangka bertemu pemain nombor empat dunia dari Denmark, Anders Antonsen dan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long yang menghuni ranking ke-27 dunia pada saingan peringkat kumpulan.

"Saya sentiasa bersedia dan perlu bersedia. Seperti saya katakan sebelum ini, siapa yang bermain belum tahu lagi tetapi saya sentiasa bersedia untuk diturunkan.

"Apa yang paling penting sekarang, kami bekerja sebagai satu pasukan. Saya dapat rasakan semua pemain bersemangat tinggi sejak kami mula menjalani kem latihan pusat bermula Rabu lalu," kata Jun Hao kepada BH Sukan.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri yang akan membentuk gandingan bersama pasangannya semula, Choong Hon Jian selepas pemain itu disenaraikan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tze Yong.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada Sabtu ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Berita Harian X