Sabtu, 20 April 2024 | 4:22pm
Aksi Yi Wen ketika menentang pemain Hong Kong, Cheng Nga Ching. - Foto Ace Sports And Management
Aksi Yi Wen ketika menentang pemain Hong Kong, Cheng Nga Ching. - Foto Ace Sports And Management

Yi Wen, Sehveetrraa selangkah ke Kejohanan Skuasy Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Sehveetrraa Kumar meneruskan rentak cemerlangnya di Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia apabila menumbangkan seorang lagi pemain pilihan untuk mara ke pentas final.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta Kuala Lumpur, hari ini, Sehveetrraa yang berada di ranking ke 124 dunia hanya memerlukan 23 minit untuk memastikan slot ke final menjadi miliknya selepas mengatasi pilihan ketujuh kejohanan, Toby Tse dari Hong Kong dengan keputusan 11-2, 11-8, 11-6.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah ini menumbangkan pilihan kedua, Akanksha Salunkhe di peringkat suku akhir, serta pilihan keenam, Erisa Sano Herring di pusingan pertama.

"Saya amat berbangga dengan apa yang telah saya tampilkan setakat ini, kerana saya baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring, dan saya berusaha dengan amat kuat sekali untuk bersiap menghadapi kejohanan ini.

"Ini adalah kejohanan pertama saya selepas kembali daripada kecederaan, dan saya gembira dapat mara ke final. Untuk perlawanan esok saya akan cuba berikan yang terbaik sekali lagi," kata Sehveetrraa.

Lebih manis, rakan sepasukan Sehveetrraa, Chan Yi Wen turut mengesahkan kemaraan ke final selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Cheng Nga Ching yang juga pilihan pertama kejohanan dengan keputusan 11-5, 11-1, 11-8.

"Saya cuba untuk tidak terlalu berfikir banyak sangat dalam perlawanan hari ini kerana semalam ia banyak mendorong saya membuat banyak sangat kesilapan.

"Saya lebih menumpukan kepada proses dan pelan permainan saya dan saya bersyukur semuanya berjalan seperti yang saya rancang," kata Yi Wen.

Dengan kemaraan dua pemain Malaysia ke pentas final esok, Malaysia sudah pun mengesahkan satu lagi slot tambahan di Kejohanan Skuasy Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada Mei depan

Sebelum ini, Ng Eain Yow, S. Sivasangari, serta Aira dan Aifa Azman sudah pun layak ke saingan itu lebih awal.

Dalam saingan lelaki, Addeen Idrakie Bakhtiar selangkah lagi untuk merealisasikan impiannya untuk beraksi di Kejohanan Dunia selepas 12 tahun apabila menyingkirkan pemain Hong Kong, Tan Ming Hong.

Bagaimanapun Addeen yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan dikerah beraksi sehingga empat set sebelum memastikan kemenangan menjadi miliknya dengan keputusan 7-11, 13-11, 5-11, 6-11 dalam tempoh 69 minit.

Menanti Addeen di final adalah pilihan pertama, Ryunosuke Tsukue dari Jepun, yang menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, Bryan Tze dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Esok bakal menjadi 50-50 antara saya dan dia, kerana dia juga seorang pemain yang bagus. Walaupun perlawanan lalu saya tumpas kepadanya, ini adalah Malaysia, saya ada sokongan daripada keluarga dan para penyokong di sini, jadi itu adalah satu kelebihan.

"Lebih penting saya perlu fokus dan tampilkan aksi yang lebih baik daripada apa yang saya pamerkan pada hari ini," kata Addeen.

Berita Harian X