Sabtu, 20 April 2024 | 1:05pm
Beregu lelaki utama negara Aaron Chia menjawab soalan pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto Bernama
Beregu lelaki utama negara Aaron Chia menjawab soalan pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto Bernama

Hong Kong penentu 'hidup mati' Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki, Aaron Chia menyifatkan perlawanan pertama menentang Hong Kong sebagai aksi 'hidup mati' yang bakal menentukan nasib skuad negara pada kempen Piala Thomas tahun ini.

Aaron, berkata Malaysia wajib menang dalam aksi sulung Kumpulan D itu bagi mencerahkan peluang ke peringkat suku akhir.

"Perlawanan pertama ini memang sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada pasukan layak ke kelompok lapan terbaik atau sebaliknya.

"Ia bukan perlawanan yang mudah, kalau tengok untuk acara perseorangan, peluang adalah 50-50 tetapi kita ada kelebihan sedikit dalam acara beregu. Jadi, kami pasti akan buat yang terbaik untuk memenangi perlawanan," kata Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik.

Menurut Aaron, kemenangan ke atas Hong Kong pastinya akan memberi tonik tambahan kepada pasukan sebelum bertemu pasukan pilihan, Denmark yang turut diundi dalam kumpulan sama.

"Atas kertas, kelebihan memihak kepada Denmark. Mereka ada pasukan yang seimbang dalam acara perseorangan dan beregu. Namun, kami akan buat yang terbaik untuk cuba menjadi juara kumpulan," katanya.

Selain Hong Kong dan Denmark, Malaysia juga turut diundi satu kumpulan dengan Algeria.

Dalam pada itu, Aaron berharap dapat membantu Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa pada kempen Piala Thomas kali ini sekali gus melengkapkan koleksi pingat mereka dalam kejohanan utama.

Aaron-Wooi Yik sudah memenangi pingat dalam semua kejohanan utama yang lain termasuk emas Kejohanan Dunia 2022, gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, emas berpasukan dan gangsa individu Sukan Komanwel Birmingham 2022, gangsa individu Sukan Asia Hangzhou 2022 dan emas individu dan perak berpasukan Sukan SEA 2019.

Mereka turut membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia pada 2022 selain perak pada edisi 2020 dan 2024.

Pasangan itu juga dua kali meraih gangsa pada saingan Piala Sudirman 2021 dan 2023.

"Piala Thomas adalah kejohanan berpasukan utama yang lain seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA yang juga ada acara berpasukan. Jadi, sudah tentu kami berharap dapat memenangi pingat tidak kira warna sekalipun," katanya.

Piala Thomas akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Berita Harian X