Jumaat, 19 April 2024 | 11:17pm
Addeen Idrakie Bahtiar (kiri) bertemu rakan senegara Darren Rahul Pragasam pada suku akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. – Foto Ace Sports and Management
Addeen Idrakie Bahtiar (kiri) bertemu rakan senegara Darren Rahul Pragasam pada suku akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. – Foto Ace Sports and Management

Addeen teruskan kemaraan ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Empat pemain negara berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Pertembungan sesama pemain Malaysia membabitkan pilihan kedua kejohanan, Addeen Idrakie Bahtiar menentang Darren Rahul Pragasam berlangsung dengan cukup sengit.

Addeen yang memburu penampilan pertamanya pada Kejohanan Dunia selepas 12 tahun menggunakan segala pengalaman yang dimiliki untuk menang 14-12, 7-11, 11-4, 9-11, 11-4 dalam masa 74 minit.

"Saya patut habiskan perlawanan pada set ketiga, tetapi Rahul memang bermain dengan bagus hari ini. Silap saya, saya membiarkan dia mengatasi saya bila saya sedang mendahului.

"Apa pun saya kekalkan dengan strategi permainan saya dan saya tahu lebih cergas daripadanya jadi saya gunakan segala kelebihan yang ada untuk melakar kemenangan," jelas Addeen.

Impian seorang lagi pemain Malaysia, Syafiq Kamal untuk mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tan Ming Hong tidak kesampaian apabila tewas tipis selepas berentap selama 78 minit.

Syafiq, 27, berjaya memberikan tentangan sengit kepada Ming Hong, bagaimanapun dia tidak berupaya untuk mengekalkan tumpuannya pada set penentuan sekali gus berputih mata untuk ke separuh akhir selepas tewas 11-7, 5-11, 11-7, 8-11, 9-11.

Ini bermakna Ming Hong akan menentang Addeen pada separuh akhir esok.

Terdahulu, dalam satu lagi pertembungan sesama pemain Malaysia, Bryan Tze berjaya mengatasi rakan sepasukannya, Ong Sai Hung 11-8, 9-11, 6-11, 11-4, 11-6.

Tugas mencabar menanti pemain berusia 28 tahun itu apabila berdepan pilihan utama kejohanan, Ryunosuke Tsukue dari Jepun esok.

Pemain negara Sehveetrraa Kumar (kanan) ketika bertemu Akanksha Salunkhe dari India pada suku akhir di Pusat Skuasy Jalan Duta hari ini. – Foto Ace Sports and Management
Pemain negara Sehveetrraa Kumar (kanan) ketika bertemu Akanksha Salunkhe dari India pada suku akhir di Pusat Skuasy Jalan Duta hari ini. – Foto Ace Sports and Management

Dalam saingan wanita, pemain muda sedang meningkat, Sehveetrraa Kumar melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dari India, Akanksha Salunkhe.

Pemain berusia 19 tahun itu memastikan slot ke separuh akhir menjadi miliknya selepas menang 11-6, 11-5, 11-8 dalam tempoh 38 minit.

"Saya rasa ini adalah kemenangan terbesar dalam karier saya, tambahan ini adalah Kelayakan Kejohanan Dunia dan saya berjaya mara hingga separuh akhir.

"Ini kali pertama saya menang ke atasnya dan saya menang dengan keputusan 3-0. Saya rasa bangga dengan apa yang sudah saya tampilkan dalam gelanggang hari ini.

"Lawan saya esok adalah Toby dan saya sering bertemu dengannya sebelum ini, tetapi saya masih belum berjaya mengatasinya. Saya hanya mahu teruskan momentum ini dan tidak terlalu memikirkan sangat mengenainya," kata Sehveetrraa.

Sehveetrraa akan berdepan pemain Hong Kong, Toby Sze pada separuh akhir esok.

Seorang lagi pemain wanita negara, Chan Yi Wen turut meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain Hong Kong, Fung Ching Hei 11-9, 8-11, 11-3, 11-9 selepas bertarung selama 40 minit.

Menanti Yi Wen esok seorang lagi pemain Hong Kong, Cheng Nga Ching yang juga pilihan pertama kejohanan.

Nga Ching menempah tempat ke separuh akhir selepas menumpaskan seorang lagi wakil negara, Yu Jie 11-9, 11-6, 11-7.

Berita Harian X