Jumaat, 19 April 2024 | 7:56pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong masih mengalami kecederaan. - BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong masih mengalami kecederaan. - BERNAMA

ISN sentiasa pantau rapi Tze Yong

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan agensi itu sentisa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang sehingga kini belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, berkata pihaknya melakukan pemantauan rapi terhadap pemain ranking ke-18 dunia itu dari semasa ke semasa.

"Doktor di ISN melakukan penilaian berdasarkan kepada siasatan mereka. Perundingan sentiasa berlaku antara doktor pakar untuk lihat situasi semasa Tze Yong.

"Pemerhatian secara teliti dilakukan kerana kita mahu pastikan perjalanan kariernya panjang. Jadi kita perlu berhati-hati apabila merawatnya.

"Ia bukan sahaja berkaitan soal perubatan tetapi perkara lain seperti sains sukan dan pemakanannya. Itu semua perlu diambil kira.

"Sebab itu kita kena berhati-hati untuk membenarkan atau melepaskannya bermain dalam satu-satu kejohanan.

"Dia sentiasa menjadi keutamaan kami dan memang kerap menjalani rawatan di ISN," katanya ketika ditemui selepas sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan, Tze Yong akan menjalani satu lagi pembedahan susulan terdapat keadaan yang sangat jarang berlaku susulan pembedahan pertama pada Februari lalu yang dikesan awal minggu ini.

Katanya, selepas berunding dengan doktor ISN dan doktor yang membedahnya, Tze Yong akan menjalani satu lagi pembedahan untuk memperbaiki simptomnya dan mempercepatkan pemulihan.

Berita Harian X