Jumaat, 19 April 2024 | 7:41pm
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menjawab soalan pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. - BERNAMA
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menjawab soalan pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. - BERNAMA

Pelbagai masalah tak halang skuad negara sasar juara

KUALA LUMPUR: Di sebalik ketidaktentuan melanda skuad badminton lelaki negara dalam persiapan menghadapi saingan Piala Thomas, ia tidak menghalang pasukan daripada memburu gelaran juara pada kejohanan yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata selepas tiga hari kem latihan pusat berlangsung, semua pemain kecuali Lee Zii Jia fokus melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Katanya, pemain menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi menerusi setiap aktiviti yang dijalankan dan ia adalah petanda yang positif.

"Seperti yang semua boleh lihat termasuklah rakan-rakan media juga menerusi video yang dimuat naik oleh BAM, kita tunjukkan kepada semua apa yang kita buat untuk persiapan Piala Thomas.

"Kita mahu semua orang faham bahawa kita tidak pernah sesekali memandang mudah saingan Piala Thomas kali ini. Biarpun orang mungkin lihat atau baca bahawa pasukan kita seperti kelam-kabut, tetapi kita tunjukkan yang kita tetap fokus.

"Dengan masa yang agak suntuk, kita cuba untuk bina satu pasukan yang mantap. Kita boleh lihat, semua pemain mempunyai semangat yang positif.

"Aktiviti kita sepanjang latihan pusat ini bermula dari 6 pagi sehinggalah 9 malam. Semua aktiviti yang kita jalankan adalah untuk meningkatkan tahap semangat satu pasukan kerana kita ada sasaran untuk Piala Thomas kali ini.

"Sebagai negara besar badminton, kita harus buat persiapan terbaik untuk memenangi trofi kejuaraan," kata Rexy.

Skuad negara sebelum ini diselubungi dengan beberapa isu termasuklah membabitkan penyertaan pemain perseorangan profesional, Zii Jia dan masalah kecederaan belakang dialami Ng Tze Yong.

Zii Jia dipalit dengan kontroversi selepas meminta bayaran bagi menyarung jersi kebangsaan atas dasar komersial dan dipersetujui oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM akan memberi pampasan kepada Zii Jia dalam setiap perlawanan yang disertainya di Chengdu.

Tze Yong pula yang sebelum ini disenaraikan dalam pasukan terpaksa digugurkan apabila perlu menjalani satu lagi pembedahan selepas terdapat keadaan yang sangat jarang berlaku susulan pembedahan pertama pada Februari lalu yang dikesan awal minggu ini.

Tempat Tze Yong akan digantikan oleh pemain beregu, Choong Hon Jian.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara iaitu pada 1994 (Jakarta, Indonesia), 1998 (Hong Kong), 2002 (Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi, India).

Malaysia akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Berita Harian X