Jumaat, 19 April 2024 | 5:21pm
Tze Yong perlu dibedah sekali lagi bagi mempercepatkan pemulihannya. - NSTP/HELMI TALKAH
Tze Yong perlu dibedah sekali lagi bagi mempercepatkan pemulihannya. - NSTP/HELMI TALKAH

Tze Yong jalani satu lagi pembedahan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali dalam aksi kompetitif.

Selepas menjalani pembedahan tulang belakang pada Februari lalu, pemain ranking ke-18 dunia itu menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya dan sudah mula mengikuti program latihan di gelanggang.

Malangnya, Tze Yong mengalami keadaan yang sangat jarang berlaku susulan pembedahan itu yang dikesan awal minggu ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, berkata selepas berunding dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN) dan doktor yang membedahnya, Tze Yong kini akan menjalani satu lagi pembedahan untuk memperbaiki simptomnya dan mempercepatkan pemulihan.

"Kesihatan Tze Yong adalah keutamaan kami. Malangnya, dia mengalami ini tetapi kami mesti melakukan yang terbaik untuk Tze Yong dan memastikan dia pulih sepenuhnya.

"BAM tidak akan berkompromi dengan kesihatannya. Tze Yong tidak akan menyertai Piala Thomas kerana kami mahu dia memberi tumpuan kepada pemulihannya," kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.Terdahulu, Rexy mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu terpaksa digugurkan daripada skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.Tempatnya akan digantikan oleh pemain beregu, Choong Hon Jian untuk Piala Thomas. Hon Jian akan menyertai pasukan kebangsaan yang sedang menjalani latihan pusat sejak Rabu lalu berkuat kuasa serta-merta.

Berita Harian X