Jumaat, 19 April 2024 | 12:02pm
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong masih belum cergas untuk menyertai pertandingan. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong masih belum cergas untuk menyertai pertandingan. - NSTP/ASWADI ALIAS

BAM gugurkan Tze Yong daripada skuad Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini mengesahkan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong digugurkan daripada skuad Piala Thomas negara.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata keputusan itu dibuat selepas Tze Yong didapati masih belum cergas sepenuhnya untuk bermain di kejohanan berprestij itu.

Katanya, tempat pemain ranking ke-18 dunia itu akan digantikan oleh pemain beregu lelaki, Choong Hon Jian.

Choong hon Jian. - Foto fail BERNAMA
Choong hon Jian. - Foto fail BERNAMA

"Selepas perbincangan dengan barisan jurulatih dan pengurusan, kita putuskan untuk menggugurkan Tze Yong. Keadaannya tidak memungkinkan dia boleh bermain.

"Jadi, kita memilih Hon Jian untuk menggantikan tempatnya kerana berdasarkan perbincangan dengan barisan jurulatih beregu dan perseorangan, kita melihat ada keperluan untuk kita menambah pemain beregu.

"Kita melihat beberapa kemungkinan yang pasukan perlukan untuk saingan Piala Thomas kali ini. Sekarang ini kita ada empat pemain perseorangan dan enam beregu," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Rexy sebelum ini memberi bayangan Tze Yong berkemungkinan besar tidak akan menyertai pasukan ke Piala Thomas yang mana pemain itu perlu menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya, Selasa lalu.

Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kecederaan belakang dan terpaksa menjalani pembedahan pada Februari lalu.

Dia kemudian menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, BAM tetap menyenaraikan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Dengan ketiadaan Tze Yong, Malaysia kini hanya mempunyai empat perseorangan yang akan menggalas cabaran iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu akan diperkuatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Hon Jian.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Piala Thomas akan berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Berita Harian X