Khamis, 18 April 2024 | 5:40pm
Rexy Mainaky ketika sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/FARHAN RAZAK
Rexy Mainaky ketika sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/FARHAN RAZAK

Sedia hadapi apa sahaja di Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi peringatan supaya setiap pemain yang terpilih untuk menggalas cabaran di Piala Thomas 2024 perlu sentiasa berdepan setiap kemungkinan.

Berdasarkan beberapa situasi semasa termasuk penyertaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang masih belum dapat disahkan, Rexy mahu setiap pemain bersedia dan mempunyai fokus sebagai satu pasukan di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

"Pengalaman saya bermula sebagai pemain sehingga jurulatih di Piala Thomas, sesiapa pun jurulatih yang ada dalam pasukan akan memberitahu setiap individu dalam pasukan supaya perlu mampu beraksi dalam apa juga disiplin.

"Oleh itu, sesiapa pun harus bersedia, walaupun anda beraksi dalam acara beregu... sebab itulah ia dipanggil berpasukan.

"Sama seperti bola sepak, jika penjaga gol dilayangkan kad merah, pemain pertahanan atau sesiapa sahaja perlu mengambil tanggungjawab menggantikan tempatnya. Jadi sesiapa pun di dalam pasukan perlu bersedia sepenuhnya," kata Rexy.

Status Tze Yong dalam pasukan sebelum ini mencetuskan tanda tanya selepas pemain berkenaan perlu menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya.

Dalam pada itu, Rexy sudah mempunyai 'Plan B' sekiranya Tze Yong tidak dapat disenaraikan, dan berkemungkinan menggantikan pemain berusia 23 tahun itu dengan pemain di ranking lebih rendah berbandingnya.

"Kalau dilihat kepada situasi sekarang, Eogene (Ewe) adalah pilihan utama. Perubahan pemain boleh dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan nanti," katanya.

Berita Harian X