Rabu, 17 April 2024 | 2:35pm
Saat indah Pearly Tan-M Thinaah ketika menjuarai Terbuka Perancis di Paris pada 2022. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com
Saat indah Pearly Tan-M Thinaah ketika menjuarai Terbuka Perancis di Paris pada 2022. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com

Pearly, Thinaah cari formula hadapi Paris 2024

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menempah slot secara tidak rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah kini fokus mencari formula terbaik dalam usaha menampilkan persembahan luar biasa pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pearly, 24, berkata mereka sedang merangka strategi bersama jurulatih untuk kembali mengesan 'kelompangan' corak permainan yang dipamerkan, dengan menganalisis video untuk mengesan kekuatan dan kelemahan mereka.

"Jurulatih berbincang dengan kami mengenai kesilapan sama berpandukan beberapa permainan sebelum ini. Pada permainan pertama kami menang dan apabila mendahului, (mesti) kurang konsisten dan kalah.

"Kami sedang mencari cara untuk menyelesaikan masalah. (Mengenai latihan di luar negara) kami belum mendengar apa-apa daripada jurulatih, kerana mereka sedang fokus pemain ke Piala Uber 2024," katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Ditanya sekiranya juara Terbuka Perancis 2022 itu akan memilih bilangan kejohanan yang disertai atau sebaliknya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Olimpik, Pearly berkata semua keputusan itu diserahkan kepada jurulatih yang pastinya lebih mengetahui tahap keupayaan mereka dalam gelanggang.

Anak jati Kedah itu memaklumkan, Masters Malaysia 2024 dari 21 hingga 26 Mei ini hanya menjadi satu-satunya kejohanan yang diketahui akan berada dalam radar mereka setakat ini.

"Kami bebas daripada kecederaan tetapi perlu fokus untuk menjadi lebih kuat, kerana terdapat banyak kejohanan dengan intensiti tinggi. Saya sudah bersedia dari awal kerana saya ingin beraksi di Olimpik tetapi perlu menjaga kondisi badan, memperkuat otot dan menjaga diri sendiri.

"... Olimpik adalah mimpi setiap atlet (termasuk) saya dari kecil hingga sekarang. Saya amat gembira kerana berjaya layak dan sekarang saya hanya mahu fokus dan berharap untuk memberikan hasil terbaik," katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA

Berita Harian X