Selasa, 16 April 2024 | 1:55pm
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong tarik diri selepas mengalami kecederaan sakit belakang ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil Januari lalu. NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong tarik diri selepas mengalami kecederaan sakit belakang ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil Januari lalu. NSTP/ASWADI ALIAS

Tze Yong tarik diri dari skuad Piala Thomas?

KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara menerima tamparan berbaki kurang dua minggu sebelum Piala Thomas apabila pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong berkemungkinan besar tidak akan menyertai pasukan ke kejohanan berprestij itu.

Ini selepas pemain ranking ke-18 dunia itu perlu menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya, hari ini.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sekali gus mengundang persoalan sama ada Tze Yong mampu beraksi di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Rexy bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan kecederaan belakang yang dialami pemain itu sebelum ini.

"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai kedudukan sebenar Tze Yong untuk Piala Thomas, iaitu berdasarkan situasi semasanya, adakah dia layak atau tidak untuk main (di Piala Thomas).

"Sekarang berbalik kepada keinginannya... kerana di pihak pengurusan dan jurulatih sudah melakukan yang terbaik untuknya. Jadi sekarang terpulang kepada pemain itu sendiri.

"Ia perlu keluar dari mulut pemain itu sendiri sama ada bersedia untuk bermain atau tidak. Kalau tidak, semua pihak termasuk pihak atasan akan keliru kerana pada akhirnya pemain yang melaksanakan tugas, bukan pihak pengurusan atau jurulatih.

"Untuk ketika ini, saya belum boleh cakap dia tak pergi (ke Piala Thomas) kerana kami belum terima laporan MRI dan belum dapat sebarang maklumat lebih lanjut," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di ABM di sini, hari ini.

Ditanya mengapa pihaknya tetap menyenaraikan Tze Yong untuk beraksi di Piala Thomas, Rexy menjelaskan Tze Yong sendiri ingin beraksi dalam kejohanan berpasukan itu.

"Semasa mesyuarat terakhir, jurulatihnya (Hendrawan) beritahu dia (Tze Yong) sendiri nak main. Hendrawan beritahu doktor di ISN (Institut Sukan Negara) sendiri keliru dengan situasi (kecederaan) Tze Yong sekarang," katanya.

Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kecederaan belakang dan terpaksa menjalani pembedahan pada Februari lalu.

Dia kemudian menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, BAM tetap menyenaraikan Tze Yong antara barisan pemain perseorangan lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Selain Tze Yong, turut tersenarai adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Berita Harian X