Ahad, 14 April 2024 | 4:49pm
Izzuddin-Sze Fei tewas pada aksi final Kejohanan Badminton Asia hari ini. - Foto Badminton Asia
Izzuddin-Sze Fei tewas pada aksi final Kejohanan Badminton Asia hari ini. - Foto Badminton Asia

Impian juara Izzuddin-Sze Fei lebur

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terlepas peluang mencipta sejarah muncul juara Asia buat kali pertama.

Ini selepas pasangan itu terpaksa akur tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, sebentar tadi.

Pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo itu, kedua-dua pasangan mempamerkan aksi sengit sejak awal permainan dengan saling mengejar mata sebelum kemenangan memihak kepada Wei Keng-Wang Chang 21-17.

Bagaimanapun, Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking ke-19 dunia berjaya mendiamkan penyokong tuan rumah seketika dengan kebangkitan mereka di set kedua menerusi kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Izzuddin-Sze Fei (kiri) pada majlis penyampaian hadiah. - Foto Badminton Asia
Izzuddin-Sze Fei (kiri) pada majlis penyampaian hadiah. - Foto Badminton Asia

Izzuddin-Sze Fei bermula baik pada awal permainan set apabila mendahului 5-1 tetapi tidak bertahan lama apabila mereka dilihat hilang fokus yang menyaksikan lawan berjaya bangkit dengan meraih lapan mata berturut-turut sebelum menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-10.

Kekalahan menyaksikan kemarau Malaysia untuk muncul juara Asia beregu lelaki berterusan selepas kali terakhir dimenangi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2007 yang mana mereka mempertahankan kejuaraan dimenangi setahun sebelum itu.

Ini juga adalah kali ketiga berturut-turut menyaksikan wakil beregu lelaki negara kecundang di pentas final selepas turut dialami Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada edisi 2022 dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tahun lalu.

Meskipun terpaksa akur bergelar naib juara tetapi ia dianggap pencapaian tertinggi dalam kerjaya Izzuddin-Sze Fei mengambil kira tahap kejohanan itu yang menyamai status Super 1000.

Malah, mereka menampilkan aksi memukau sepanjang laluan ke final apabila berjaya menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama sebelum mengatasi beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu (lawan tarik diri di set kedua susulan masalah kecederaan) di pusingan kedua.

Mereka kemudiannya menumbangkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di suku akhir sebelum mengatasi bekas juara dunia yang juga rakan sepasukan, Aaron-Wooi Yik di separuh akhir.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa hadiah wang tunai sebanyak AS$33,300 (RM158,852) manakala Izzuddin-Sze Fei menerima AS$15,750 (RM75,132).

Berita Harian X