Sabtu, 13 April 2024 | 9:39pm
Izzuddin-Sze Fei (kanan) akan menentang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia esok.
Izzuddin-Sze Fei (kanan) akan menentang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia esok.

Beregu nombor tiga dunia halangan terakhir Izzuddin-Sze Fei

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei akan membuat perhitungan dengan pasangan nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada final Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, esok.

Ia akan menjadi pertemuan kedua buat kedua-dua pasangan itu selepas aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023.

Ketika itu, Izzuddin-Sze Fei terpaksa akur apabila tewas di tangan lawan berkenaan dalam pertarungan tiga set.

Izzuddin terbaring ketika cuba membalas pukulan Woi Yik ketika aksi separuh akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China. - Foto AFP
Izzuddin terbaring ketika cuba membalas pukulan Woi Yik ketika aksi separuh akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China. - Foto AFP

Justeru, aksi final esok menjadi pentas terbaik buat Izzuddin-Sze Fei untuk melunaskan dendam mereka ke atas Wei Keng-Wang Chang yang turut bergelar juara Terbuka Malaysia tahun ini.

Terdahulu, Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking ke-19 dunia melangkah ke pentas final pertama mereka dalam saingan BAC selepas mengetepikan cabaran rakan sepasukan yang juga beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14, 21-18 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Wei Keng-Wang Chang pula mara ke final selepas mengatasi pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-17, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mengakui gembira dengan prestasi ditunjukkan Izzuddin-Sze Fei sepanjang kejohanan kali yang menyaksikan mereka turut menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam laluan ke final selain Aaron-Wooi Yik.

"Ia sesuatu yang positif melihat Izzuddin-Sze Fei kembali bangkit selepas tewas kepada Aaron-Wooi Yik beberapa kali ini tahun ini di Terbuka Malaysia dan Seluruh England.

Aksi Sze Fei-Izzuddin ketika membalas pukulan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika perlawanan separuh akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China. - Foto AFP
Aksi Sze Fei-Izzuddin ketika membalas pukulan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika perlawanan separuh akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China. - Foto AFP

"Kini, mereka berjaya menewaskan Aaron-Wooi Yik sekali lagi. Mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk menang dalam gelanggang, sejak dari awal kejohanan lagi mereka sudah tunjukkannya.

"Saya harap mereka dapat kekalkan semangat ini dan beraksi baik di final nanti," kata Bin Shen.

Kejayaan mara ke final BAC kali ini menjadi pencapaian tertinggi dalam kerjaya Izzuddin-Sze Fei mengambil kira status kejohanan yang bertaraf Super 1000.

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka adalah merangkul dua gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 iaitu Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka Amerika Syarikat 2023.

Izzuddin-Sze Fei juga memastikan Malaysia mempunyai wakil di pentas final beregu lelaki sebanyak tiga kali berturut-turut selepas Aaron-Wooi Yik pada 2022 diikuti gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pada 2023.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara beregu lelaki di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007 sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka setahun sebelum itu.

Berita Harian X