Jumaat, 12 April 2024 | 7:04pm
Zii Jia gagal mara ke separuh akhir BAC selepas tewas kepada Jonatan hari ini.
Zii Jia gagal mara ke separuh akhir BAC selepas tewas kepada Jonatan hari ini.

Berita dapat pampasan gagal lonjak Zii Jia, tumbang 34 minit di tangan Jonatan

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa jam dilapor bakal menerima pampasan untuk menyarung jersi skuad negara di Piala Thomas, Lee Zii Jia menerima tamparan apabila tersingkir di suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), sebentar tadi.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu nyata beraksi di bawah tahap prestasi terbaiknya apabila tunduk di tangan juara baharu Seluruh England dari Indonesia, Jonatan Christie pada aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China.

Pada aksi itu, Jonatan mendominasi permainan sejak dari awal yang menyaksikan dia memenangi set pertama 21-11.

Kebangkitan yang diharapkan daripada Zii Jia di set kedua untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke set penentuan tidak kesampaian apabila dia hanya mampu mengutip enam mata sekali gus tunduk 6-21 dalam tempoh 34 minit permainan.

Jonatan akan bertemu pilihan pertama dari China, Shi Yuqi bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Zii Jia akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi negara dalam kejohanan utama.

Pemain perseorangan lelaki yang menghuni ranking ke-11 dunia itu akan menerima bayaran untuk setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Zii Jia adalah pemain yang ditaja oleh Victor iaitu pesaing kepada Yonex yang menjadi salah satu penaja utama kepada BAM.

Berita Harian X