Jumaat, 12 April 2024 | 5:32pm
Izzuddin-Sze Fei mara ke separuh akhir BAC selepas singkir juara Olimpik 2020.
Izzuddin-Sze Fei mara ke separuh akhir BAC selepas singkir juara Olimpik 2020.

Izzuddin-Sze Fei cetus kebangkitan sensasi, benam juara Olimpik

KUALA LUMPUR: Malaysia menjamin satu tiket final bagi acara beregu lelaki selepas gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), sebentar tadi.

Izzuddin-Sze Fei mencipta kebangkitan sensasi untuk menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China.

Selepas tewas set pertama 19-21, Izzuddin-Sze Fei nyata tidak goyah apabila bangkit untuk memenangi set kedua 21-19 sekali gus perlawanan ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi ketenangan Izzuddin-Sze Fei ketika mata penting menyaksikan mereka menoktahkan permainan dengan keputusan 21-19.

Kemenangan itu menyaksikan Izzuddin-Sze Fei menempah pertemuan dengan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi perebutan tiket ke final esok.

Aaron-Wooi Yik terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan wakil tuan rumah ,Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-14, 21-15.

Berita Harian X