Jumaat, 12 April 2024 | 3:46pm
Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir BAC hari ini.
Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir BAC hari ini.

Aaron-Wooi Yik hanya perlu 30 minit ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China sebentar tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan masa 30 minit untuk menumbangkan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada aksi suku akhir.

Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi 'kelas A' apabila mendominasi permainan sejak awal dan memenangi set pertama dengan keputusan 21-14.

Mereka tidak memberikan peluang untuk lawan bangkit apabila terus beraksi cemerlang untuk menoktahkan kemenangan dalam perlawanan berkenaan menerusi keputusan 21-15 di set kedua.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas turut meraih keputusan sama di suku akhir Terbuka India, Januari lalu.

Bekas juara dunia itu akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dengan pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Berita Harian X