Jumaat, 12 April 2024 | 12:24pm
Zii Jia (kanan) dan Tze Yong perkuat skuad Piala Thomas.
Zii Jia (kanan) dan Tze Yong perkuat skuad Piala Thomas.

Zii Jia, Tze Yong perkuat skuad Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung penyertaan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia pada saingan Piala Thomas akhirnya terjawab.

Pemain ranking ke-11 dunia itu sah akan memperkuatkan cabaran skuad negara selepas namanya disenaraikan bagi menghadapi kejohanan yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, skuad negara turut akan dibarisi perseorangan kedua terbaik, Ng Tze Yong yang diberi lampu hijau oleh pasukan perubatan, bergantung kepada penilaian akhir.

Pemain ranking ke-18 dunia itu masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan belakang, Februari lalu.

Malaysia turut menyenaraikan tiga lagi pemain perseorangan lelaki iaitu Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, cabaran negara akan diketuai pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

Sementara itu, bagi saingan Piala Uber, BAM menyenaraikan pemain perseorangan wanita berpengalaman, Goh Jin Wei dan K Letshanaa dalam pasukan.

Mereka akan disertai Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata pemilihan pemain dalam skuad kali ini dibuat selepas perbincangan rapi dalam kalangan barisan kejurulatihan negara.

"Kami memantau rapi pemain semasa latihan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Selepas menilai keadaan dan prestasi mereka, pasukan kejurulatihan memuktamadkan skuad.

"Saya yakin pemain yang terpilih bersemangat untuk bersaing dalam kejohanan berpasukan berprestij dunia itu.

"Pemain sudah pasti akan memberikan yang terbaik di China. Beberapa pemain muda dalam kedua-dua skuad Piala Thomas dan Piala Uber akan tekad untuk membuktikan kemampuan mereka dan menampilkan menyampaikan persembahan terbaik," kata Rexy.

INFO
PIALA THOMAS

Barisan pemain negara: Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Muhammad Haikal Nazri

PIALA UBER

Barisan pemain negara: Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee, Chan Wen Tse

Berita Harian X