Khamis, 11 April 2024 | 12:14pm
Zii Jia beri bayangan sertai skuad Piala Thomas negara di Chengdu hujung bulan ini.
Zii Jia beri bayangan sertai skuad Piala Thomas negara di Chengdu hujung bulan ini.

Zii Jia sedia ke Chengdu

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia memberi bayangan dia akan menyertai skuad badminton negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Pemain ranking ke-11 dunia itu, berkata dia sentiasa beraksi dengan baik dalam kejohanan berpasukan dan berharap dia dapat melakukan perkara sama pada saingan Piala Thomas tahun ini.

"Seperti yang anda tahu saya sentiasa menyertai kejohanan berpasukan, tidak kira Piala Thomas atau Piala Sudirman dan saya menghasilkan keputusan yang bagus, jadi saya berharap dapat menyertainya lagi untuk kali ini.

"Ketika ini pihak pengurusan saya sedang melakukan perbincangan dan meneliti semua aspek bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Diharapkan kami dapat mencapai kata putus yang baik untuk menyertai Piala Thomas kali ini," kata Zii Jia ketika temu bual bersama akaun Shuttle Times di platform media sosial Weibo selepas kemenangannya ke atas pemain India, Priyanshu Rajawat di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, semalam.

Sebelum ini, Zii Jia melalui pengurus, Lee Zii Yii dan jurulatihnya, Wong Tat Meng memberi bayangan kemungkinan besar tidak akan menyertai skuad negara untuk saingan Piala Thomas bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy ketika dihubungi BH Sukan, hari ini, berkata pihaknya akan memutuskan senarai pemain yang akan menggalas cabaran negara di Piala Thomas/Uber, esok.

Tarikh tutup pendaftaran pemain bagi kejohanan berpasukan itu adalah pada Sabtu ini.

Berita Harian X