Rabu, 3 April 2024 | 6:21pm
S Sivasangari mengangkat tangan kegembiraan selepas muncul juara kategori wanita pada kejohanan Klasik London kelmarin. – Foto AGENSI
S Sivasangari mengangkat tangan kegembiraan selepas muncul juara kategori wanita pada kejohanan Klasik London kelmarin. – Foto AGENSI

Ketenangan resipi kejayaan Sivasangari

KUALA LUMPUR: Kekal tenang ketika berdepan cabaran getir menjadi ramuan kejayaan luar biasa pemain skuasy negara S Sivasangari yang muncul juara edisi sulung kejohanan Klasik London kelmarin.

Pemain ranking ke-13 dunia itu menggegarkan dunia skuasy apabila menewaskan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada aksi final di Alexandra Palace, London.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 itu mengaitkan kejayaan menjuarai kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf emas dengan sikap tenang serta 'menikmati permainan' tanpa tunduk kepada tekanan.

"Saya rasa saya bermain dengan baik apabila saya tenang, jadi saya harap dapat meneruskan prestasi dan mentaliti ini dalam kejohanan akan datang.

"Saya selalu ingin mencabar pemain terbaik dunia dan cuba mengalahkan mereka, jadi untuk melakukannya dalam kejohanan ini sememangnya mengagumkan," katanya ketika dihubungi.

Pada kejohanan itu, Sivasangari menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir 11-9, 11-9 pada suku akhir sebelum mencipta satu lagi kejutan menewaskan pemain ranking keempat dunia Nele Gilis dari Belgium 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 pada separuh akhir.

Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (kira-kira RM83,000).

Pencapaian luar biasa pada kejohanan Klasik London itu menjadikan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara Jelajah Dunia PSA bertaraf emas sejak kemenangan legenda skuasy negara Datuk Nicol David pada Terbuka Hong Kong 2015.

Menurut Sivasangari, kejayaan itu meningkatkan keyakinannya untuk menjadi pemain terbaik dunia serta mencapai matlamat utama menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia 25 tahun itu berjanji terus berusaha menggapai lebih banyak kejayaan pada masa depan dan menyasarkan menembusi kelompok 10 terbaik dunia menjelang akhir musim ini.

Ditanya bagaimana dia mengekalkan motivasi selepas terbabit dalam kemalangan yang mengancam nyawanya pada Jun 2022, Sivasangari berkata dia membuat banyak pengorbanan untuk pulih daripada kejadian itu dan kembali melakukan apa yang diminati.

"Saya bermain skuasy sejak saya berusia lapan tahun dan melakukan banyak pengorbanan sejak itu.

"Kemalangan kereta itu sememangnya memberi kesan dari segi mental tetapi hari demi hari, saya cuba melakukan segala yang saya boleh untuk berada di tahap ini," katanya.

Berikutan kecederaan teruk di bahagian kepala susulan kemalangan itu, Sivasangari terpaksa berehat lebih enam bulan sekali gus terlepas aksi Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England sebelum kembali ke gelanggang pada Januari tahun lalu.

Sivasangari yang kini sedang bercuti di Sepanyol akan beraksi pada kejohanan Terbuka Antarabangsa El Gouna (19 hingga 26 April) diikuti Kejohanan Dunia PSA 2023-2024 (9 hingga 17 Mei), kedua-duanya di Kaherah. – BERNAMA

Berita Harian X