Selasa, 2 April 2024 | 5:31pm
Sivasangari (kiri) bersama juara kategori lelaki, Paul Coll
Sivasangari (kiri) bersama juara kategori lelaki, Paul Coll

Sivasangari sendiri tidak percaya

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari menyifatkan kejayaan menjuarai Klasik London 2024, malam tadi sebagai sesuatu yang sukar dipercayai mengambil kira apa yang menimpanya dua tahun lalu.

Pada Jun 2022, Sivasangari, 25, mengalami mimpi ngeri apabila terbabit dengan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka dan tulang belakang sehingga memerlukan masa yang panjang untuk pulih.

Bagaimanapun, dia mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas itu menerusi beberapa kejayaan diraihnya termasuklah membawa pulang dua pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara individu dan berpasukan.

Kini, Sivasangari terus membuktikan yang dia sudah semakin hampir menempatkan diri dalam kelompok utama dunia menerusi kejayaan menjuarai Klasik London - kejuaraan pertamanya bagi kejohanan bertaraf Emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Lebih membanggakan, pencapaian itu diraih dengan kejayaan dia menumbangkan pemain dalam kelompok lima terbaik dunia bermula dengan pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir.

Dia kemudian menumbangkan pemain nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis pada aksi separuh akhir untuk mara ke final kejohanan bertaraf emas buat kali pertama.

Pada aksi final malam tadi, Sivasangari mengatasi pemain nombor dua dunia, Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh 81 minit pada aksi yang berlangsung di Alexandra Palace London sekali gus melakar sejarah peribadi buat dirinya.

"Ia cukup bermakna. Saya rasa ketika kali terakhir saya beraksi di kejohanan bertaraf emas, saya tewas di suku akhir tetapi kali ini dapat mara ke final dan ia adalah satu perasaan yang agak gila.

"Saya selalu menyaksikan Sherbini, Nele dan Hania beraksi di separuh akhir tetapi kali ini untuk benar-benar memenangi kejohanan ini sangat menggembirakan dan saya bangga dengan bagaimana saya melakukannya.

"Saya tidak akan dapat melakukannya tanpa bimbingan jurulatih dan penaja saya. Tanpa mereka saya tidak akan berada di sini sekarang.

"Saya akan hubungi keluarga dan jurulatih kerana mereka, saya memenangi kejohanan dan ia adalah satu perjalanan yang sukar dipercayai selepas apa yang berlaku dua tahun lalu," katanya kepada PSA World Tour.

Mengulas aksi final itu, Sivasangari yang menduduki ranking ke-13 dunia mengakui ia perlawanan yang cukup sukar dengan Hania sering memberikan tentangan sengit sehingga hujung perlawanan.

"Hania adalah pesaing utama saya sejak zaman remaja. Saya sepatutnya dapat memenangi perlawanan di set keempat tetapi gagal melakukannya dan pada set terakhir, saya cuba kekal tenang.

"Dia (Hania) masih memberi saingan sengit dan bangkit meraih mata tetapi saya gembira dengan cara saya menang," katanya.

Selaku juara, Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).

Berita Harian X