Selasa, 2 April 2024 | 3:19pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak akan sertai Piala Uber. - NSTP/ASWADI ALIAS
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak akan sertai Piala Uber. - NSTP/ASWADI ALIAS

Pearly-Thinaah tidak tersenarai ke Piala Uber

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah merestui cadangan untuk tidak menyenaraikan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah bagi menghadapi Piala Uber di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

"Berhubung Pearly-Thinaah, rasanya mereka tidak akan bermain di Piala Uber nanti kerana kita perlu realistik.

"Senarai nama masih belum diputuskan, namun boleh cakap 90 peratus mereka berdua tidak berada dalam skuad Piala Uber.

"Setakat ini, saya boleh cakap secara prinsipnya pihak pengurusan bersetuju dengan keputusan untuk tidak menyenaraikan Pearly-Thinaah," katanya hari ini.

Sebelum ini, Rexy memberi bayangan Pearly-Thinaah kemungkinan besar tidak akan disenaraikan ke Piala Uber bagi memberikan mereka masa yang lebih untuk melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Jelas Rexy, ketiadaan Pearly-Thinaah menyaksikan skuad kali ini mempertaruhkan gandingan muda dengan Teoh Mei Xing menjadi pemain yang paling senior.

"Setakat ini, Mei Xing paling senior manakala yang lain adalah pemain muda. Kita juga mahu menilai pemain-pemain yang beraksi dua acara, nak tengok di mana kelebihan mereka sama ada beregu (wanita) atau campuran," katanya.

Skuad wanita negara kali ini diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Berita Harian X