Isnin, 1 April 2024 | 4:47pm
Sivasangari melangkah ke final London Klasik malam tadi.
Sivasangari melangkah ke final London Klasik malam tadi.

Sivasangari hampiri kelompok 10 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari semakin hampir untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Ia susulan pencapaian pemain ranking ke-16 dunia itu yang melangkah ke final London Klasik 2024, malam tadi.

Berdasarkan perkiraan mata ranking yang dikira secara langsung, Sivasangari diramal bakal melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ke-13.

Sekiranya menjuarai kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai AS$108,500 (RM512,604) itu, Sivasangari boleh meraih mata maksimum 1,750 sebagai juara manakala 1,150 mata sebagai naib juara kejohanan bertaraf Emas.

Perkara itu diakui jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross namun kedudukan sebenar ranking pemain dunia akan dikeluarkan Isnin ini.

"Saya rasa minggu ini pencapaian besar buatnya, kerana menonjolkan kemampuan yang dia boleh lakukan.

"Dia memberikan sepenuh kesungguhan sejak beberapa minggu lalu dan hasilnya mula kelihatan sekarang," kata Andrew.

Sivasangari melangkah ke final Klasik London selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 ke atas pemain nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 94 minit di Alexandra Palace London.

Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari menjadi pemain pertama Malaysia berjaya mara ke final kejohanan bertaraf Emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sejak kali terakhir Datuk Nicol David melakukannya pada 2015.

Sivasangari bertemu pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Hania El Hammamy di pentas final.

Semalam, Sivasangari mencipta kejutan apabila menjadi pemain pertama yang berada di luar kelompok 10 terbaik dunia menewaskan juara dunia tujuh, El Sherbini sejak 2015 pada aksi suku akhir menerusi kemenangan 11-9, 11-9.

Berita Harian X