Sabtu, 30 March 2024 | 3:04pm
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong ketika beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC). - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong ketika beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC). - NSTP/ASWADI ALIAS

Kecederaan noktahkan peluang Tze Yong ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sudah boleh melupakan hasrat ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila disahkan tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) bulan depan yang menjadi medan terakhir pusingan kelayakan ke temasya berkenaan.

Tze Yong pada ketika ini masih dalam proses pemulihan kecederaan tulang belakangnya dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu belum cergas sepenuhnya untuk menyertai sebarang kejohanan di peringkat tertinggi pada ketika ini.

"Keutamaan kami sentiasa menjurus kepada kesihatan dan kesejahteraan pemain. Pemulihan Tze Yong dan keadaan keseluruhannya menjadi keutamaan kami. Berdasarkan penilaian perubatan, sukar untuk kami katakan yang dia akan menarik diri daripada menyertai BAC," kata Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan yang Rexy memberi kata dua kepada Tze Yong sama ada untuk menjadi juara BAC ataupun harus melupakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Tze Yong masih bergelut dengan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan bulan lalu susulan kecederaan belakang dialami dan laluannya ke Paris 2024 tampak sukar dengan ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Dalam pada itu, Rexy menjelaskan yang Tze Yong sudah pun menjalani latihan ringan namun belum lagi meneruskan latihan berintensiti tinggi termasuk lompatan.

"Kami akan memantau dengan teliti progres dan keadaannya dalam tempoh beberapa minggu ini. Tze Yong mempunyai karier yang cerah dan adalah sesuatu yang penting untuk memberikan fokus kepada proses pemulihannya.

"Walaupun dia tiada di BAC dan terkeluar untuk Paris, dia masih muda dan mempunyai peluang untuk bertanding di Olimpik yang seterusnya," kata Rexy yang akan mempertimbangkan penyertaan Tze Yong dalam pasukan negara di Piala Thomas, Mei ini.

Tze Yong dalam pada itu nyata kecewa kerana tidak dapat beraksi di BAC namun memahami keadaan kesihatannya.

"Saya kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada BAC tetapi saya memahami yang kesiharan dan proses pemulihan adalah keutamaan. Saya bersyukur atas sokongan daripada pasukan perubatan dan jurulatih dan saya komited untuk proses pemulihan ini.

"Saya amat menantikan untuk kembali beraksi di gelanggang dengan secepat mungkin dan membantu pasukan pada masa akan datang," kata Tze Yong.

Berita Harian X