Rabu, 27 March 2024 | 3:29pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengalami kecederaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengalami kecederaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Rexy resah kecederaan pemain perseorangan

KUALA LUMPUR: Masalah kecederaan yang melanda pemain perseorangan lelaki negara ketika ini meresahkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Rexy berkata, dia bohong sekiranya menyatakan situasi itu tidak membimbangkan dirinya ketika hanya berbaki sebulan sebelum kempen Piala Thomas di Chengdu, China akan bermula dari 27 April hingga 5 Mei.

"Adakah saya bimbing dengan masalah kecederaan ini? Sudah tentu. Saya bohong jika saya katakan tidak.

"Kita tidak tahu sama ada Ng Tze Yong akan kembali cergas sepenuhnya untuk bermain (susulan kecederaan belakang) dan saya berharap kecederaan kaki dialami Lee Zii Jia di Terbuka Switzerland baru-baru ini tidak serius.

"Justin Hoh (yang baru pulih daripada kecederaan) pula menyertai Cabaran Antarabangsa Thailand minggu ini. Jadi, kita akan lihat prestasinya nanti. Kita juga ada lagi pilihan pemain iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe," kata Rexy.

Dalam pada itu, Rexy mengakui 'pening kepala' untuk menentukan pemilihan pemain dalam acara beregu lelaki untuk dibawa ke Chengdu.

Katanya, selain beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pasti bersama dalam pasukan, tiga lagi pasangan sedang dalam penilaian barisan kejurulatihan iaitu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

"Ia sukar untuk menamakan pemain beregu kerana semuanya ada peluang untuk disenaraikan dalam pasukan.

"Izzuddin-Sze Fei pula sering menampilkan persembahan baik pada kejohanan berpasukan manakala Haikal-Hon Jian, walaupun pernah bermain di BATC 2024 baru-baru ini, adakah mereka bersedia main pada tahap setinggi Piala Thomas.

"Selain itu, kita turut mempertimbangkan pasangan profesional Ee Yi-Yew Sin.

"Apa pun kami akan putuskan dalam mesyuarat nanti sama ada kami akan bawa lima pemain perseorangan atau lima beregu atau empat perseorangan dan enam beregu untuk Piala Thomas kali ini," kata Rexy.

Berita Harian X