Ahad, 24 March 2024 | 5:07pm
Lee Zii Jia kini menjadi sandaran utama untuk mencabar pingat acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com
Lee Zii Jia kini menjadi sandaran utama untuk mencabar pingat acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com

Harapan pingat di bahu Zii Jia

KUALA LUMPUR: Sandaran bagi memenangi pingat acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 kini terletak di bahu Lee Zii Jia.

Pemain profesional negara itu kemungkinan besar menjadi wakil tunggal Malaysia menggalas cabaran dalam acara itu di Paris.

Zii Jia yang kini berada di kedudukan ke-10 ranking kelayakan ke Paris bakal membuat penampilan keduanya di temasya berprestij itu selepas Olimpik Tokyo 2020.

Hasrat untuk menyaksikan dua wakil negara beraksi dalam acara itu di Paris mungkin tidak kesampaian selepas Ng Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan belakang dialaminya sejak Januari lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Tze Yong menjalani pembedahan kecil bulan lalu sekali gus menyaksikan dia terlepas beberapa kejohanan di Eropah termasuk Terbuka Perancis dan Seluruh England.

Memburukkan lagi keadaan, dia juga terpaksa melupakan saingan Masters Sepanyol di Madrid yang akan bermula Selasa ini kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong bergelut dengan kecederaan belakang dan mungkin sukar melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com
Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong bergelut dengan kecederaan belakang dan mungkin sukar melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024. – Foto bwfworldtour.bwfbadminton.com

Justeru, hanya keajaiban kini mampu membantu Tze Yong melayakkan diri ke Olimpik dengan dia sekurang-kurangnya perlu mara hingga ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

Kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah kejohanan terakhir untuk kelayakan ke Olimpik Paris dengan Tze Yong perlu melonjakkan kedudukan ranking dalam kelompok 16 terbaik.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.

Bagi Zii Jia, aksi di Ningbo memberi peluang kepadanya untuk kembali merampas gelaran juara yang pernah dimenanginya pada 2022.

Dia perlu mencatat keputusan positif dalam setiap kejohanan disertai sebelum 2 Julai depan bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya.

Dia perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk membolehkan dia mendapat kedudukan selaku pemain pilihan di Olimpik Paris.

Berita Harian X