Sabtu, 23 March 2024 | 12:24am
Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri gagal menandingi beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada suku akhir Terbuka Switzerland. – Foto fail NSTP
Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri gagal menandingi beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada suku akhir Terbuka Switzerland. – Foto fail NSTP

Hon Jian-Haikal terkandas suku akhir Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu muda lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri meneruskan kemaraan pada Terbuka Switzerland terbantut apabila mereka tumpas di tangan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani sebentar tadi.

Juara Masters Orleans minggu lalu itu tewas 21-16, 22-20 pada pusingan lapan terbaik dalam tempoh 37 minit.

Ironinya, beregu Indonesia itu menjadi mangsa mereka pada final Masters Orleans di Orleans, Perancis sekali gus menyaksikan Hon Jian-Haikal merangkul kejuaraan ketiga secara keseluruhan dalam Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut terlepas peluang ke separuh akhir apabila tewas kepada beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 14-21, 21-23.

Leo-Daniel dijadual bertemu rakan senegara yang juga pilihan utama kejohanan, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang sebelum itu menewaskan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-19, 21-11 di suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke separuh akhir selepas melakar kejutan ke atas gandingan Denmark yang juga pilihan keempat kejohanan, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-15, 21-10 dalam tempoh 32 minit.

Mereka beraksi sebagai pilihan kelapan pada kejohanan Super 300 dalam kalendar Jelajah Dunia BWF itu.

Berita Harian X