Jumaat, 22 March 2024 | 7:12am
Lee Zii Jia tewas di tangan pemain India pada pusingan kedua Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle Basel awal pagi tadi. - Foto AFP
Lee Zii Jia tewas di tangan pemain India pada pusingan kedua Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle Basel awal pagi tadi. - Foto AFP

Kidambi singkir Zii Jia di pusingan kedua Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia tewas buat kali pertama di tangan pemain India, Srikanth Kidambi dalam tempoh dua tahun selepas kali terakhir pemain perseorangan lelaki profesional negara itu kecundang di tangan lawan sama ketika pusingan pertama Terbuka Jepun pada tahun 2022.

Dalam aksi pusingan kedua Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle Basel awal pagi tadi, Zii Jia ditunjuk jalan keluar oleh pemain di ranking ke-27 dunia itu, 16-21, 15-21 dengan rekod kemenangan sebelum ini memihak kepada pemain berusia 25 tahun berkenaan - masing-masing di Piala Sudirman 2023, Masters Indonesia 2024 dan Terbuka Hylo 2021.

Pertembungan itu juga adalah yang keenam buat kedua-dua pemain dengan kekalahanan terbaharu pemain di ranking ke-10 dunia itu menyaksikan Srikanth kini merapatkan jurang kemenangan kepada 4-2.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Jepun, Hiroki Nishi-Akari Sato 21-17, 19-21, 21-11.

Soon Huat-Shevon dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje yang sebelum itu menyingkirkan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.

Turut mara dalam kategori sama adalah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan gandingan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath 21-17, 21-14 dalam tempoh 33 minit dan dijadual bertemu beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran di suku akhir nanti.

Begitupun langkah dua beregu berkenaan tidak dapat diikuti Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang tewas di tangan pilihan kelima dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 22-24, 21-11, 19-21.

Berita Harian X