Isnin, 18 March 2024 | 1:12pm
Pemain Malaysia, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang Indonesia pada aksi perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham. - Foto AFP
Pemain Malaysia, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang Indonesia pada aksi perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham. - Foto AFP

Aaron-Wooi Yik perlu ambil iktibar kekalahan di final Seluruh England

KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa menggigit jari selepas tumpas pada aksi final Seluruh England 2024 malam tadi, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik digesa mengekalkan momentum permainan mereka menuju ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Di sebalik kekalahan tersebut, bekas juara Seluruh England, Koo Kien Keat memuji semangat juang tinggi Aaron dan Wooi Yik yang beraksi cukup baik seawal pusingan pertama, sehingga berjaya mara ke final kedua mereka pada kejohanan berprestij itu dalam tempoh lima tahun.

"Saya nampak corak permainan mereka kali ini berbeza selain ada kemahuan tinggi berbanding beberapa kejohanan sebelum ini.

"Mereka cuma harus kekalkan momentum, tahap keyakinan dan keinginan untuk menang, jangan sampai timbul keraguan antara pasangan dan diri sendiri. Itu yang paling penting sekarang kerana masa pun tinggal tidak berapa lama lagi sebelum ke Sukan Olimpik 2024," katanya hari ini.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pernah menjuarai Seluruh England pada 2007.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pernah menjuarai Seluruh England pada 2007.

Pada pertembungan di Utilita Arena Birmingham itu, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang berjaya mempertahankan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut dengan kemenangan 21-16, 21-16.

Pencapaian bergelar naib juara menyaksikan pilihan kelima kejohanan itu terus kempunan meraih gelaran kejohanan badminton tertua dunia tersebut, selepas tewas kepada bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21 pada pusingan akhir edisi 2019.

Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kiri) bersama pemain Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menjuarai Seluruh England 2024. - Foto AFP
Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kiri) bersama pemain Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menjuarai Seluruh England 2024. - Foto AFP

Keputusan di Birmingham itu merupakan pencapaian terbaik pasangan kelima dunia berkenaan selepas empat kejohanan individu tahun ini dengan dua kali mara ke suku akhir iaitu di Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis serta layak ke separuh akhir Terbuka India.

Kien Keat dan pasangannya Tan Boon Heong merupakan wakil beregu lelaki negara terakhir yang merangkul gelaran Seluruh England pada edisi 2007 selepas menewaskan pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18.

Sementara itu, Boon Heong mengakui strategi permainan Aaron-Wooi Yik memakan diri sehingga menyaksikan juara dunia 2022 itu terikut-ikut rentak permainan Fajar-Muhammad Rian dalam pertembungan selama 44 minit itu.

Katanya beregu yang meraih gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu harus mengambil iktibar kekalahan di tangan pilihan ketujuh kejohanan tersebut.

Beliau turut senada dengan Kien Keat bahawa Aaron-Wooi Yik tetap menyajikan persembahan memberangsangkan namun rezeki ternyata tidak memihak kepada mereka untuk mengecap kejayaan pada kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Menurut Boon Heong kekecewaan semalam merupakan sebahagian proses yang perlu ditempuhi bagi memantapkan lagi permainan mereka sebelum berjuang di Olimpik yang dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - BERNAMA

Berita Harian X