Ahad, 17 March 2024 | 5:32pm
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Aaron-Wooi Yik mampu hadiahkan kilauan pingat dari Paris

KUALA LUMPUR: Kejayaan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang melangkah ke final Seluruh England dianggap kembali memberi sinar buat kem badminton negara menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Selepas barisan pemain utama negara beraksi hambar dalam beberapa kejohanan awal pada musim ini, pencapaian Aaron-Wooi Yik meletakkan mereka sebagai taruhan terbaik untuk sekurang-kurangnya meraih pingat di Paris.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berkata pasangan nombor lima dunia itu sememangnya berpotensi untuk meraih pingat di Olimpik kali ini tetapi perlu melipat gandakan usaha bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik di Paris.

Katanya, bekas juara dunia itu perlu sentiasa percaya dengan kemampuan diri sendiri yang mereka mampu menang ke atas mana-mana pasangan sekalipun.

"Apa yang paling penting adalah strategi dan konsistensi. Masalah yang sering dialami pemain negara kita adalah konsistensi, hari ini mereka boleh menang pemain utama dunia tetapi esok kalah dengan pemain bawahan.

"Pemain sebenarnya perlu percaya dengan kemampuan diri mereka, tidak boleh takut apabila memasuki gelanggang tidak kira siapa pun lawan mereka. Jika mereka tidak percaya dengan kemampuan diri, perasaan takut kalah akan datang.

"Apabila sudah diselubungi perasaan takut kalah, semua yang mereka buat tidak menjadi. Jadi, kena percaya dengan kemampuan diri kita dan sentiasa fikir yang kita boleh menang," kata James kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi gangsa pada penampilan sulung mereka di Olimpik Tokyo 2020.

Mereka juga berjaya memenangi gelaran juara dunia pada 2022 selain meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.

Berita Harian X