Sabtu, 9 March 2024 | 12:30pm
Aaron-Wooi Yik terkandas di suku akhir Terbuka Perancis semalam.
Aaron-Wooi Yik terkandas di suku akhir Terbuka Perancis semalam.

Aaron-Wooi Yik belum 'sedia' hadapi Olimpik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka mempunyai tugas berat untuk meningkatkan prestasi dalam tempoh berbaki tiga bulan lagi sebelum bermulanya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia selepas mereka gagal mencari formula untuk kembali menewaskan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Semalam, Aaron-Wooi Yik tewas pada suku akhir Terbuka Perancis di tangan beregu Korea Selatan itu 19-21, 16-21 sekali gus ia adalah kali kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik gagal mengatasi Min Hyuk-Seung Jae selepas turut tewas ketika suku akhir Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Bagaimanapun, Wooi Yik menyifatkan mereka sudah mempelajari sesuatu daripada kekalahan berkenaan selain meletakkan sasaran untuk terus mengejar beregu yang berada di atas dalam usaha mencapai prestasi maksimum di Olimpik nanti.

"Bagi saya, ini (kekalahan) adalah proses untuk kami terus meningkatkan tahap permainan sendiri. Kami belajar sesuatu daripada perlawanan hari ini (semalam) dan sudah melakukan yang terbaik bertemu mereka.

"Kami perlu memperbaiki beberapa kelemahan seperti kepantasan dan pergerakan bagi mengejar beregu-beregu lain. Amat penting untuk kami menganalisis lawan kerana tempoh tiga bulan terakhir ini cukup penting," kata Wooi Yik.

Sementara itu, Aaron menyifatkan peluang beraksi di Arena Porte de la Chapelle - venue sama bagi Paris 2024 - itu sedikit sebanyak memberi 'bayangan awal' buat mereka menjelang temasya terbesar dunia, Julai nanti.

"Saya fikir arena cukup bagus untuk Olimpik nanti kerana sudah bermain tiga perlawanan di sini. Mungkin keadaan sedikit berangin dan sesuai untuk menyerang, jadi kami perlu berjaga-jaga nanti," kata Aaron.

Selepas ini, bekas juara dunia itu dijadual menyertai Seluruh England di Birmingham bermula Selasa ini dengan lawan pertama mereka adalah rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Berita Harian X