Ahad, 25 Februari 2024 | 6:17pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao ketika beraksi di BATC. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao ketika beraksi di BATC. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Jun Hao harap tersenarai ke Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap namanya akan disenaraikan dalam skuad bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.

Pemain ranking ke-36 dunia itu berkata persembahan yang ditampilkan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), minggu lalu diharap boleh memikat barisan kejurulatihan bagi membawanya ke Chengdu.

Jun Hao disenaraikan pada saat akhir pada saingan BATC tahun ini bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan.

Pemain berusia 24 tahun itu nyata tidak mengecewakan apabila dia menang semua perlawanan kecuali ketika aksi separuh akhir menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dan final bertemu wakil China, Weng Hong Yang.

Malah, dia memikul tugas selaku perseorangan pertama ketika berdepan Hong Yang susulan masalah kesihatan dan kecederaan dialami dua pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

"Sudah tentu saya berharap selepas saingan BATC, saya boleh menampilkan aksi lebih meyakinkan serta konsisten. Saaya mahu teruskan rentak permainan seperti ini.

"Selain itu, saya juga meletakkan harapan supaya apa yang ditampilkan pada BATC boleh membantu saya untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas nanti," kata bekas juara remaja Asia 2017 itu.

Jun Hao selepas ini akan mengalihkan fokus bagi menghadai saingan Masters Orleans di Perancis yang dijadual bermula dari 12 hingga 17 Mac ini.

Berita Harian X