Sabtu, 24 Februari 2024 | 6:30pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. - NSTP/ASWADI ALIAS

Kesihatan Tze Yong lebih utama daripada Olimpik

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan tahap kesihatan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong adalah lebih utama berbanding misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tze Yong, 24, mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, minggu lalu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata badan induk itu sentiasa meletakkan kebajikan pemain sebagai keutamaan, melebihi segala-galanya termasuklah kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Sudah tentu kita mengharapkan bahawa kecederaan ini tidak akan menghalang penglibatannya untuk meneruskan kejohanan-kejohanan kelayakan Olimpik namun kita letakkan tahap kesihatan Tze Yong lebih penting berbanding kelayakan itu.

"Kita tidak mahu jika benarkan dia bertanding, akan menyebabkan kecederaan kekal ataupun sukar dirawat.

"BAM sentiasa meletakkan kebajikan serta kesihatan pemain lebih daripada perkara lain," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Masa semakin mencemburui Tze Yong dalam usahanya layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tempoh kelayakan akan tamat pada hujung April depan.

Ketika ini dia berada di kedudukan ke-15 ranking kelayakan dan perlu berada dalam kelompok 16 terbaik untuk mengesahkan tiket ke Paris.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky sebelum ini dilaporkan, berkata pihaknya akan menunggu 'lampu hijau' daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung penyertaan Ng Tze Yong dalam tiga kejohanan di Eropah - Terbuka Perancis, Seluruh England dan Masters Sepanyol.

Katanya, buat masa ini, nama pemain itu masih belum dikeluarkan daripada menyertai tiga kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, Norza memberitahu pihaknya akan menilai secara menyeluruh laporan perubatan Tze Yong sebelum memutuskan mengenai penyertaannya dalam tiga kejohanan di Eropah itu.

"Kita perlu tengok laporan perubatan kerana saya bukan pakar. Kita harus lihat secara terperinci sama ada boleh teruskan kelayakan (Olimpik) atau tidak. "Kita juga tidak mahu memaksa jika dia belum bersedia," katanya.

Berita Harian X