Sabtu, 24 Februari 2024 | 5:24pm
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky (tengah) bersama Ng Tze Yong. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky (tengah) bersama Ng Tze Yong. - NSTP/ASWADI ALIAS

Tze Yong perlu dibedah

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan menjalani pembedahan susulan masalah kecederaan belakang yang dialaminya ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), minggu lalu.

Situasi itu menyaksikan pemain berusia 24 tahun berkenaan terpaksa melupakan aksi di Terbuka Perancis di Paris dari 5 hingga 10 Mac dan Seluruh England di Birmingham dari 12 hingga 17 Mac ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, berkata Tze Yong dijangka perlu berehat selama dua hingga enam minggu selepas menjalani pembedahan.

"Keutamaan utama BAM adalah pemain. Tumpuan kami adalah terhadap rawatan dan proses pemulihan Tze Yong.

"Sebaik dia pulih, kami akan membincangkan mengenai tindakan seterusnya.

"Buat masa ini, kami mahu dia memberikan perhatian terhadap proses rawatan bagi mengatasi masalah kecederaan ini," kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dalam kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, BAM berharap naib juara Terbuka Artik itu akan akan kembali ke gelanggang pada saingan Masters Sepanyol di Madrid dari 26 hingga 31 Mac dan Kejohanan Badminton Asia NingBo, China dari 9 hingga 14 April depan.

Masa semakin mencemburui Tze Yong dalam usahanya layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tempoh kelayakan akan tamat pada hujung April depan.

Ketika ini dia berada di kedudukan ke-15 ranking kelayakan dengan dia perlu berada dalam kelompok 16 terbaik untuk mengesahkan tiket ke Paris.

Berita Harian X