Jumaat, 16 Februari 2024 | 9:39pm
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong (tengah) menarik diri akibat kecederaan manakala Zii Jia mengalami masalah resdung. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong (tengah) menarik diri akibat kecederaan manakala Zii Jia mengalami masalah resdung. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Malaysia pertaruh pemain beregu galas tugas perseorangan

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara kemungkinan besar mempertaruhkan seorang pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan pada aksi separuh akhir menentang Jepun di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), esok.

Malaysia kini tempang selepas dua pemain perseorangan utama, Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia belum pasti dapat diturunkan selepas masing-masing mengalami kecederaan dan masalah kesihatan.

Kecederaan belakang kembali menghantui Tze Yong yang menyaksikan dia terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh ketika Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada aksi suku akhir, hari ini.

Zii Jia sebelum itu sudah tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah resdung.

Situasi berkenaan menyaksikan skuad negara ketika ini hanya tinggal dua pemain perseorangan iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata pihaknya akan menilai semua pilihan yang ada termasuk kemungkinan untuk menyenaraikan salah seorang pemain beregu menggalas tugas dalam acara perseorangan.

"Situasi yang berlaku ini adalah di luar kawalan kami yang mana kita kehilangan dua pemain perseorangan. Pada akhirnya, kita perlu buat persiapan dengan pemain yang kita ada sekarang.

"Mungkin pemain beregu akan disenaraikan bermain dalam perseorangan. Kemungkinan itu ada dan perkara ini akan bincang semula dengan barisan kejurulatihan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," kata Rexy.

Menurut legenda badminton Indonesia itu, pihaknya mempunyai masa sehingga jam 1 tengah hari esok sebelum memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi di separuh akhir.

"Setakat ini, saya tidak boleh pastikan sama ada Tze Yong atau Zii Jia boleh diturunkan. Macam Zii Jia, saya fikir pasukan dia lebih mengetahui keadaannya.

"Jadi, kita akan bincang semula nanti. Lagipun, kita tidak boleh nak paksa pemain untuk bermain sekiranya mereka betul-betul tidak boleh turun bermain," katanya.

Berita Harian X