Selasa, 13 Februari 2024 | 9:49pm
Perseorangan kedua negara Leong Jun Hao hanya memerlukan 19 minit untuk menundukkan pemain Brunei, Marhanif Ali pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Perseorangan kedua negara Leong Jun Hao hanya memerlukan 19 minit untuk menundukkan pemain Brunei, Marhanif Ali pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias

Tumpaskan Kazakhstan 5-0 juga - Rexy

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara diingatkan supaya kekal fokus menjelang aksi kedua Kumpulan B menentang Kazakhstan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, esok.

Terdahulu, Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan tidak berdepan masalah untuk merakam kemenangan pertama apabila menewaskan Brunei 5-0 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata beliau mahu barisan pemain negara turut melakar kemenangan 5-0 ke atas Kazakhstan dalam misi untuk mengesahkan tiket awal ke suku akhir.

"Pemain perseorangan pertama Kazakhstan mempunyai corak permainan yang baik. Jadi, kita tidak boleh pandang rendah.

"Saya mahu pemain kekal fokus dan seperti yang saya katakan sebelum ini, kita mesti cuba mencipta kemenangan mutlak 5-0 ke atas Kazakhstan juga untuk memastikan kita di tahap terbaik sebelum aksi penting bertemu Taiwan (aksi terakhir kumpulan pada Khamis)," kata Rexy.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Brunei, Rexy berkata tidak banyak boleh diperkatakan memandangkan pemain lawan rata-ratanya tidak mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan antarabangsa.

Perseorangan ketiga negara Eogene Ewe membalas pukulan pemain Brunei, Mattew Minggat pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Perseorangan ketiga negara Eogene Ewe membalas pukulan pemain Brunei, Mattew Minggat pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias

"Pemain kita juga mungkin tidak berikan 100 peratus, jadi tidak banyak yang saya boleh perkatakan. Apa yang saya boleh cakap, keputusan hari ini sesuatu yang kita sudah jangka," katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang beraksi dalam perlawanan penuh pertamanya musim ini mengakui perlu berhati-hati memandangkan kecederaan otot belakang yang dialaminya sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, di sebalik situasi itu, Tze Yong tetap mampu menyumbang mata pertama selepas menewaskan pemain Brunei, Kan Kah Kit 21-7, 21-11.

"Ini adalah perlawanan (penuh) pertama saya untuk 2024, jadi satu keputusan yang bagus kerana dapat catat kemenangan. Mungkin ada rasa tegang sikit di bahagian belakang tetapi saya akan bincang dengan jurulatih nanti.

"Ketika melakukan pukulan smash, sebenarnya saya masih fikir mengenai kecederaan itu. Jadi, saya sedikit berjaga-jaga hari ini kerana itu adalah perkara paling penting," katanya.

Tze Yong sebelum ini terlepas empat kejohanan apabila mengalami kecederaan otot belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan lalu.

Berita Harian X