Isnin, 12 Februari 2024 | 5:20pm
Aaron Chia (kanan) dan gandingannya Soh Wooi Yik menjadi sandaran negara untuk menyerlah pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – Foto AFP
Aaron Chia (kanan) dan gandingannya Soh Wooi Yik menjadi sandaran negara untuk menyerlah pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – Foto AFP

Aaron-Wooi Yik pendam 'senjata rahsia'

SHAH ALAM: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan mendedahkan rejim latihan baharu dalam menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Aaron, juara dunia 2022 bersama Wooi Yik berkata, corak latihan baharu yang diperkenalkan adalah bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Aaron-Wooi Yik ketika ini berada di kedudukan kelima dalam ranking dunia dan 'Race to Paris'.

"Saya rasa semuanya berjalan lancar ketika kami menjalani program latihan untuk persediaan Sukan Olimpik, jadi kami sedang menyesuaikan diri dengan program latihan baharu... tetapi kami tidak boleh ceritakan.

"Ini mungkin kejohanan berpasukan kali ke-10 atau lebih yang kami sertai. Saya rasa bahagian beregu lebih seronok, sebab kami boleh main scratch pair dan rakan sepasukan ada di belakang untuk beri sokongan," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

BATC akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bermula esok hingga 18 Februari.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata mereka masih berbincang mengenai pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama Kumpulan B esok.

Beliau berkata, perancangan rapi perlu memandangkan Malaysia terlebih dahulu akan bertemu dua negara mudah iaitu Brunei (esok), Kazakhstan (14 Februari), sebelum bertemu lawan sebenar Taiwan (15 Februari).

"Tadi ada perbincangan dari kumpulan perseorangan siapa yang akan diturunkan. Kami tengok dulu kalau Lee Zii Jia mahu main dan uji gelanggang, jadi kami akan turunkan.

"Pemain beregu pula mungkin kami akan bincang petang ini, sebab mungkin mahu sesuaikan diri dengan gelanggang... lagipun kami bukan cakap Kazakhstan dan Brunei itu mudah, tapi kalau boleh menang 5-0 pasti mahu yang terbaik," katanya.

Cabaran Malaysia yang turun sebagai juara bertahan digalas empat pemain perseorangan - Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe - manakala Aaron-Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bagi saingan beregu. – BERNAMA

Berita Harian X